KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng  untuk memindahkan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memberitahu, prosiding pelaksanaan penangguhan di Mahkamah Sesyen adalah tidak dibenarkan.

Dengan ini, tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada Selasa (esok) akan berlangsung seperti yang ditetapkan.

Ketika membacakan keputusannya, Muhammad Jamil berkata, hakim Mahkamah Sesyen berkebolehan menentukan undang-undang.

"Kes rasuah lazimnya dibicarakan di Mahkamah Sesyen dan hakim mempunyai kelayakan undang-undang untuk membicarakan kes, sangat berpengalaman serta mempunyai kebolehan jika berbangkit soalan luar biasa," ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika membantah permohonan pihak pembelaan berkata, tindakan itu bukan sahaja mencetus kesangsian sedangkan tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 21 Disember lalu, malah ia dilihat sebagai menyalahgunakan proses mahkamah.

Menurutnya, tarikh perbicaraan itu telah dipersetujui kedua-dua pihak ketika ditetapkan pada Disember lalu.

"Malah pendakwaan sudah menyenaraikan beberapa saksi dari Pulau Pinang yang  dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Sesyen bermula esok," katanya lagi.

Sebelum ini, Guan Eng memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Gobind Singh Deo & Co di Mahkamah Tinggi Khamis lalu, supaya keputusan membabitkan kes berkenaan boleh dirayu ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan itu turut memohon supaya semua prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan itu.