KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah mengunjungi rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya sekitar pukul 2 pagi. 

Saksi pertama pendakwaan, Geethanjali Gausillia Kathirvalu, memberitahu perkara itu pada hari pertama perbicaraan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang yang dihadapi Guan Eng.

Menurut Geethanjali, 35, yang juga ahli perniagaan, dia dimaklumkan mengenai kehadiran Ahli Parlimen Bagan itu ke rumahnya oleh suaminya, Datuk Seri Gnanaraja M. Gnanasundram ketika sedang tidur.

Jelas saksi itu, suaminya memintanya bersiap sebelum Geethannjali mengejutkan ibunya.

"Saya kemudian dikenalkan kepada Guan Eng oleh suami saya beserta dengan seorang lagi individu iaitu Datuk Zarul (Ahmad Mohd. Zulkifli).

"Saya sahkan saya mengenali Zarul sebelum ini lagi kerana beliau pernah datang ke rumah untuk berurusan dengan suami saya.

"Guan Eng ada bertanyakan mengenai khabar saya dan ibu serta perkembangan semasa saya pada ketika itu. Saya menjawab segala soalan daripada Guan Eng dan hanya berbual-bual kosong," katanya ketika membacakan penyataan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, di sini hari ini.

Geethanjali turut memberitahu mahkamah bahawa seingatnya, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan, pernah hadir sekali sahaja ke rumahnya, sementara Zarul hadir beberapa kali ke rumahnya atas urusan perniagaan dengan suaminya.

Tambah saksi pertama itu, beliau tidak tahu apa urusan mereka bersama suaminya, selain tidak pernah menjemput Guan Eng ke rumahnya.

"Saya bukahlah peminat atau penyokong Guan Eng," katanya yang turut mengesahkan bahawa beberapa keping gambar kenangan bersama Guan Eng telah diambil di rumahnya.

Gambar tersebut katanya, telah dirakam oleh Zarul menggunakan telefon bimbitnya.

Kata saksi itu lagi, lebih kurang 30 minit selepas gambar diambil, suaminya meminta dia dan ibunya untuk beredar kerana suaminya perlu berbincang perkara sulit dengan Guan Eng.

Sementara itu, Geethanjali ketika disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng mengakui bahawa pernah berjumpa dengan ahli politik lain sebelum ini.


Gobind: Datuk biasa jumpa ahli politik?

Geethanjali: Sebelum ini ya, tuan.

Gobind: Jadi ini bukan perkara luar biasa?

Geethanjali: Ya.

Gobind: Dan juga biasa kadang kala jumpa ahli politik, kadang kala gambar ambil?

Geethanjali: Ya, tuan.

Gobind: Sama juga dengan rumah di Jalan Tanjung, rumah ini juga kerap diziarahi oleh ahli politik?

Geethanjali: Tidak sangat, tuan.

Gobind: Tiada ahli politik langsung datang ke rumah?

Geethanjali: Tak pernah rasanya, kami berjumpa di pejabat.


Gobind: Suami kamu mempunyai ramai kenalan ahli politik?

Geethanjali: Ada.

Gobind: Adakah mereka juga datang ke rumah?

Geethanjali: Tak sangat... tidak terlalu kerap tapi ada.

Gobind: Saya tak tanya, sangat atau kerap. Saya tanya ada atau tidak, ada bukan?

Geethanjali: Ada. 

Gobind: Tiada apa-apa luar biasa atau masalah dengan perkara itu, bukan?

Geethanjali: Ya.

Pada perbicaraan itu, pendakwaan turut memanggil Pegawai Penyiasat SPRM, Saadon Abd Samad selaku saksi kedua pendakwaan untuk memberi keterangan.

Perbicaraan kes bersambung esok.