PUTRAJAYA: Perbincangan bagi menjalin kolaborasi dengan sebuah studio animasi Jepun untuk projek penyumberan luar melibatkan syarikat penerbitan animasi tempatan kini hampir muktamad, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Filem Nasional (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Beliau berkata pihak Jepun telahpun mengenal pasti syarikat Malaysia bagi kerjasama itu dengan menyatakan keupayaan penerbitan animasi 3D negara kini semakin berkembang mencapai tahap piawaian antarabangsa.
"Ada satu projek animasi dari Jepun dan kita tahu industri Jepun jarang atau tak pernah buat penyumberan luar dari negaranya. Alhamdulillah ada satu projek untuk ditayangkan di pawagam melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI), yang kita akan dapatkan minggu depan," katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan timbalannya Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj dan timbalan ketua pengarang Mohd Shukri Ishak.
Azmir Saifuddin berkata perkembangan itu mencerminkan keupayaan industri animasi 3D Malaysia yang kini telah mencapai piawaian antarabangsa.
"Saya fikir animasi 3D kita telah mencapai piawaian antarabangsa. Jadi saya rasa sebab itulah mereka memilih Malaysia kerana kita agak maju dari segi animasi 3D.
"Saya fikir (kita telah) hampir sampai ke tahap itu. Mereka memilih syarikat Malaysia kerana prosesnya agak mengambil masa, kerana bukan mudah untuk mendapatkan syarikat yang tepat untuk mampu ke tahap itu," katanya.
Beliau berkata kerjasama itu membabitkan libat urus antara studio Jepun dan syarikat produksi Malaysia, termasuk perbincangan mengenai insentif produksi yang ditawarkan oleh kedua-dua negara.
"Tidak silap saya, di pihak Jepun mereka mendapat rebat daripada kerajaan mereka dan di pihak Malaysia daripada insentif FINAS," katanya.
Bagaimanapun, katanya, butiran lanjut mengenai projek itu tidak dapat didedahkan pada peringkat ini, sementara menunggu kelulusan daripada pihak studio Jepun, terutamanya mengenai perjanjian penyumberan luar.
Mengenai perkembangan lain, Azmir Saifuddin berkata industri kreatif tempatan terus menunjukkan perkembangan positif apabila kutipan pecah panggung filem tempatan tahun lalu mencecah RM240 juta, tertinggi dalam sejarah industri perfileman negara.
Beliau berkata tahun ini sahaja antara lima hingga enam filem tempatan yang ditayangkan berjaya mencatat kutipan melebihi RM10 juta, termasuk filem 'Tarung' dan 'Libang Libur'.
"Pada tahun lepas juga, FINAS bersama industri berjaya mencapai pelaburan sebanyak RM1 bilion bagi tempoh tiga tahun akan datang," katanya.
Beliau berkata Malaysia kini semakin kukuh sebagai hab penggambaran antarabangsa, khususnya bagi penerbitan format program realiti terbesar di Asia Tenggara.
Bagi sektor animasi pula, beliau berkata Malaysia terus menjadi antara peneraju utama di rantau ini dan mendahului beberapa negara jiran ASEAN, disokong menerusi insentif FIMI.
Dalam aspek tadbir urus, Azmir Saifuddin berkata FINAS berjaya memperoleh Sijil Audit Bersih bagi laporan penyata kewangan untuk lima tahun berturut-turut.
Beliau berkata dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini juga FINAS berjaya meningkatkan hasil pendapatan dan menambah rizab organisasi selepas menerima teguran audit pada 2022.
-- BERNAMA