PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa percikan darah pada dinding bilik yang terbakar di mana lokasi mayat Nazrin Hassan ditemukan adalah sepadan dengan asid deoksiribonukleik (DNA) Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari berhujah pegawai forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman ASP Nizam Hussain (saksi pendakwaan ke-39) mengesahkan bahawa kesan darah yang dijumpai di dinding tempat kejadian adalah konsisten dengan kesan terkena objek tumpul dan bukan kesan tembakan mahupun letupan.

"SP39 turut mengesahkan bahawa kesan darah yang terjadi pada dinding adalah sebelum kebakaran kerana ia wujud di sebalik jelaga kebakaran.

"Berdasarkan keterangan SP39, jelas menunjukkan bahawa saksi ini adalah saksi pakar dan mempunyai pengalaman yang luas dan membuat pemerhatian berkenaan percikan darah di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berhujah dalam rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Samirah Muzaffar, 48, yang juga balu Nazrin, serta dua remaja yang kini berumur 21 dan 18 tahun daripada pertuduhan membunuh Nazrin, selepas memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Menurut Mohd Amril, bagi menguatkan lagi keterangan SP39, 15 putik kapas mengandungi sampel percikan darah yang diambil dari tempat kejadian telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.

"Selepas dianalisa, SP43 iaitu Ahli Kimia, Jabatan Kimia Malaysia S.Jayasilan mengesahkan bahawa terdapat tiga putik kapas yang berpadanan dengan profil DNA si mati (Nazrin).

"Ini turut menguatkan teori perayu (pendakwaan) bahawa mayat si mati telah dialihkan. Oleh yang demikian, perayu berhujah bahawa tiada sebab untuk mahkamah ini menolak keterangan SP39," katanya.

Berhubung hujahan peguam responden bahawa percikan darah hanya ditemukan lima bulan selepas kejadian pada 5 Nov 2018 dan DSP C.Tharmalingan (SP34) tidak menemui percikan darah apabila beliau pergi ke tempat kejadian sedangkan beliau adalah pegawai forensik yang lebih berpengalaman di Bukit Aman, Mohd Amril berkata saksi itu tidak pernah ditanyakan mengenai percikan darah di dinding.

"SP34 hanya menjelaskan secara terperinci tentang peranannya di dalam kes itu dan semasa disoal peguam pada perbicaraan, saksi itu beritahu beliau mengambil papan lantai sebagai bahan bukti supaya profiling DNA dapat dijalankan untuk menyokong keterangan bahawa si mati telah meninggal dunia di tempat kejadian.

"SP34 tidak pernah memberikan sebarang keterangan berkenaan percikan darah," kata Mohd Amril.

Rayuan yang didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli bersambung 23 Okt ini.

Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan ketiga-tiga tertuduh daripada pertuduhan membunuh Nazrin pada akhir kes pendakwaan.

Samirah dan dua remaja itu, serta seorang wanita warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin, 45, di rumahnya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi hari berikutnya.

-- BERNAMA