KUALA NERUS: Percubaan pertama menyertai Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan menjadi kenangan paling manis buat pelajar tahun tiga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali, 25, apabila muncul sebagai johan qari pertandingan itu malam tadi.
Penuntut jurusan Al-Quran dan Sunnah dari Perak itu berkata beliau gembira dengan kejayaan tersebut namun tidak menyangka mampu menewaskan 13 peserta lain yang lebih berpengalaman dan sempurna bacaan mereka.
Advertisement
Beliau berkata bapanya Cik Sazali Jaafar, 51, merupakan guru al-Quran pertamanya serta menjadi pendorong utama untuk menyertai pertandingan tilawah di pelbagai peringkat sebelum ini.
"Saya rasa sangat bersyukur kerana kejayaan ini sebenarnya tidak disangka memandangkan saingan amat sengit. Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke pertandingan peringkat kebangsaan.
"Bapa saya seorang pegawai polis dan masih berkhidmat. Kami tiga beradik memang belajar al-Quran dengan ayah dari awal hingga fasih seperti sekarang. Ayah juga ada asas ilmu tarannum yang diajar kepada kami dan saya juga banyak berjumpa dengan guru lain untuk bertalaqi," katanya ketika ditemui pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447/2026 di Stadium Gong Badak di sini malam tadi.
Cik Hasnul Taqiyuddin yang bercita-cita menjadi pensyarah berkata beliau akan terus membuat latihan sebagai persediaan mewakili negara ke pertandingan tilawah peringkat antarabangsa nanti.
Sementara itu, johan qariah Nur Syakura Mohamad Musa, 31, dari Sarawak berkata beliau amat bersyukur kerana usahanya selama enam tahun akhirnya membuahkan hasil.
Penyelia Guru Al-Quran di Majlis Islam Sarawak (MIS) itu berkata hasil istiqamah serta doa daripada ahli keluarga, akhirnya beliau berjaya menghadiahkan kemenangan khususnya kepada bapa, Mohamad Musa Mat, 67, yang juga guru al-Quran dan pendorong utamanya.
"Ini kali keenam penyertaan saya di peringkat kebangsaan. Pencapaian terbaik sebelum ini hanya di tempat keempat.
"Benarlah usaha tidak pernah mengkhianati hasil. Saya banyak ambil pengalaman sebelum ini untuk kenal pasti kelemahan dan perbaiki kekurangan," katanya.
Kemenangan itu membolehkan masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji berserta piala, cenderamata dan sijil.
Selain itu, pemenang turut menerima hadiah tambahan iaitu bar emas seberat dua gram sumbangan MAIDAM Property Sdn Bhd dan tajaan penginapan selama dua hari satu malam oleh Paya Bunga Hotel, Kuala Terengganu.
-- BERNAMA