KUALA LUMPUR: Perdagangan borong dan runcit Malaysia pada Februari 2026 mencatatkan jualan sebanyak RM156.3 bilion, mencerminkan pertumbuhan 5.3 peratus tahun ke tahun, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan jualan itu didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit dan borong.
Advertisement
"Perdagangan runcit mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM70.1 bilion, meningkat RM5.0 bilion, mencerminkan pertumbuhan 7.7 peratus tahun ke tahun. Di samping itu, perdagangan borong merekodkan jualan sebanyak RM69.5 bilion, meningkat RM3.7 bilion, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.7 peratus.
"Bagaimanapun, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan penurunan sebanyak RM0.9 bilion, dengan jumlah jualan berjumlah RM16.7 bilion," kata beliau.
Mengulas mengenai subsektor perdagangan runcit, Mohd Uzir berkata prestasi ini dipacu terutamanya oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang bertumbuh 10.4 peratus kepada RM27.6 bilion.
Pengembangan ini didorong terutamanya oleh peningkatan jualan di kedai runcit, pasar raya dan pasar mini.
Beliau berkata pertumbuhan aktiviti runcit disumbangkan oleh perbelanjaan sempena Tahun Baharu Cina, pembayaran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) secara one-off, semakan kenaikan gaji penjawat awam serta persiapan awal menjelang bulan Ramadan.
Sementara itu, jualan runcit di kedai pengkhususan meningkat 7.4 peratus kepada RM14.8 bilion pada Februari 2026 disokong oleh permintaan yang lebih kukuh terhadap barangan farmaseutikal, perubatan dan ortopedik serta barang kemas.
"Selain itu, jualan runcit bahan api kenderaan meningkat sebanyak 6.2 peratus kepada RM6.3 bilion. Jualan runcit makanan, minuman dan tembakau turut mencatatkan pertumbuhan 7.7 peratus kepada RM4.5 bilion, dipacu oleh peningkatan pembelian daging dan ikan dan makanan laut.
“Subsektor perdagangan borong terus menunjukkan prestasi yang kukuh pada Februari diterajui oleh jualan borong barangan isi rumah yang berkembang sebanyak 9.6 peratus kepada RM15.0 bilion, dipacu peningkatan jualan barangan farmaseutikal dan perubatan, pewangi, kosmetik dan kelengkapan dandanan diri serta perabot isi rumah," katanya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata kumpulan lain-lain pengkhususan jualan borong meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada RM25.6 bilion, disokong oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap baja dan produk agrokimia serta bijih besi dan bukan besi serta logam.
Beliau berkata jualan borong makanan, minuman dan tembakau meningkat 5.7 peratus, didorong oleh peningkatan jualan produk tenusu, ikan dan makanan laut serta sayur-sayuran.
Dalam pada itu, DOSM berkata penurunan subsektor kenderaan bermotor pada Februari dipengaruhi penyusutan 17.1 peratus jualan kenderaan bermotor kepada RM7.3 bilion.
"Trend ini selari dengan data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang melaporkan jumlah jualan kenderaan sebanyak 52,414 unit, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) merekodkan 56,690 pendaftaran kenderaan bagi tempoh yang sama.
"Kumpulan lain dalam subsektor ini terus mencatatkan pertumbuhan positif termasuk jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor (6.6 peratus), penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (9.5 peratus) serta jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (0.7 peratus), yang mencerminkan permintaan berterusan terhadap perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dan komponen pasaran selepas jualan," katanya.
Sementara itu, DOSM berkata jualan runcit dalam talian terus mencatatkan pertumbuhan pada Februari, dengan indeks jualan meningkat 5.8 peratus tahun ke tahun, sedikit sederhana berbanding 5.9 peratus pada bulan sebelumnya.
Katanya aktiviti pembayaran digital terus mengukuh pada Februari, dengan transaksi e-money melonjak 74.8 peratus tahun ke tahun kepada RM30.2 bilion, mencerminkan peningkatan penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai.
"Platform Real-time Retail Payments Platform (RPP) turut mengekalkan prestasi yang kukuh dengan jumlah transaksi sebanyak RM323.8 bilion, mencatatkan pertumbuhan 29.4 peratus.
"Sementara itu, transaksi FPX bertumbuh 23.3 peratus kepada RM40.6 bilion, manakala transaksi kad kredit dan kad debit masing-masing merekodkan RM18.2 bilion dan RM13.5 bilion," kata DOSM.
-- BERNAMA