MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Ahad berkata perdagangan antara negara BRICS telah mencecah AS$1.2 trilion, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Berucap pada mesyuarat format BRICS Outreach di New Delhi, Putin berkata kadar pertumbuhan penduduk di negara BRICS meningkat dari tahun ke tahun, pasaran domestik semakin kukuh dan pelbagai jenis infrastruktur telah dibangunkan.
“Perdagangan sesama negara dalam kumpulan kita telah mencecah AS$1.2 trilion. Negara anggota menyumbang hampir satu perempat daripada eksport global dan BRICS menjadi pemacu utama pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, iaitu 49 peratus,” katanya.
Putin menegaskan bahawa potensi BRICS untuk terus berkembang “masih jauh daripada dimanfaatkan sepenuhnya.”
“Satu daripada potensi utama yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya ialah sifat saling melengkapi antara ekonomi negara anggota. Perbezaan dalam struktur dan pengkhususan masing-masing menyediakan peluang luas untuk kerjasama praktikal, termasuk mewujudkan rantaian pengeluaran, teknologi, perkhidmatan dan pasaran baharu,” katanya.
Putin berkata perkara itu pada hakikatnya melibatkan pembentukan platform pertumbuhan bersama BRICS yang menggabungkan secara bersepadu kelebihan daya saing ekonomi negara anggotanya.
Presiden Rusia itu berkata perhatian dunia terhadap kegiatan BRICS juga terus meningkat.
Beliau berkata nilai dan prinsip kumpulan itu semakin mendapat perhatian, sambil menambah bahawa BRICS memperjuangkan peluang yang sama rata dan tanpa sekatan bagi semua negara untuk mencapai pertumbuhan sosial dan ekonomi.
Putin turut berkata kumpulan itu secara aktif menyumbang kepada pembentukan sistem dunia berbilang kutub yang lebih adil.
-- BERNAMA-ANADOLU