Skip to main content

Malaysia

Wajah Malaysia: Dialek negeri kian 'cair' dalam pertuturan cucu - Pakar bahasa

wajah Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim
Nik Safiah berkata, faktor pendidikan juga menyebabkan generasi muda lebih terdedah kepada bahasa Melayu baku kerana bahasa tersebut menjadi medium utama di sekolah, selain bahasa Inggeris. - Foto Sinar Harian
Advertisement

SHAH ALAM: Bagi setiap lima cucu dalam sesebuah keluarga, tidak semuanya fasih bertutur dalam dialek negeri datuk dan nenek mereka apabila bahasa Melayu baku dan bahasa Inggeris semakin sebati dalam pertuturan generasi muda.

Pakar bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim, berkata keadaan itu bagaimanapun tidak boleh diterjemahkan kepada angka atau peratusan khusus kerana penguasaan dialek bergantung kepada corak komunikasi setiap keluarga.

Menurutnya, dialek negeri masih digunakan dalam kehidupan seharian ketika dalam suasana tidak formal di rumah, namun penggunaannya dalam kalangan generasi muda semakin dipengaruhi bahasa Melayu standard dan bahasa Inggeris.

"Orang Melayu tidak lepas dialeknya cuma apabila perkara yang hendak dikatakan untuk mengajar dan sebagainya, bahasa baku selalu digunakan dan menjadi tabiat mencampur dengan bahasa Inggeris. 

"Biasanya di rumah kita guna dialek negeri dengan cucu, tetapi tidak banyak dan penggunaannya apabila bertutur dengan nenek atau datuk," katanya ketika dihubungi. 

Nik Safiah berkata, faktor pendidikan juga menyebabkan generasi muda lebih terdedah kepada bahasa Melayu baku kerana bahasa tersebut menjadi medium utama di sekolah, selain bahasa Inggeris.

“Perkara yang hendak dikatakan untuk pendidikan atau perkara rasmi biasanya menggunakan bahasa baku dan standard. 

"Dalam kehidupan tidak rasmi pula, kita biasa mencampurkan bahasa Inggeris jadi peratus penggunaan dialek itu lebih rendah, sejauh mana keluarga menggunakan dialek berkenaan,” katanya lagi. 

Beliau berkata, dalam sesetengah keadaan, generasi muda masih mampu memahami dialek keluarga tetapi tidak semestinya yakin atau fasih menuturkannya.

“Kalau nenek dan atuk banyak bercakap dengan cucu, lebih banyak dialek digunakan berbanding bahasa baku tetapi berbeza kalau nenek menggunakan satu dialek dan atuk menggunakan dialek lain,  

"Perbezaan itu menyebabkan cucu lebih cenderung menggunakan bahasa baku standard ketika berkomunikasi," katanya.

Menurut beliau, pengaruh dialek tempatan masih kuat dalam sesetengah kawasan, terutama di Pantai Timur, berbanding kecenderungan lebih besar menggunakan bahasa Melayu baku di Pantai Barat.

"Di Pantai Timur, anak cucu masih dikelilingi orang yang menggunakan dialek tempatan jadi mereka tetap menuturnya dengan baik kecuali apabila pergi ke sekolah.

"Bagi negeri-negeri di kawasan Pantai Barat pula, kecenderungannya lebih kepada bahasa baku,” katanya.

Nik Safiah berkata, penggunaan bahasa oleh ibu juga lazimnya memberi pengaruh besar terhadap pertuturan anak kerana anak lebih banyak berkomunikasi dengan ibu dalam kehidupan seharian.

Katanya, dialek negeri bagaimanapun tidak semestinya akan pupus walaupun bentuk pertuturannya semakin bercampur dengan bahasa Melayu baku dan bahasa Inggeris.

"Pada pemerhatian saya, dialek akan kekal. Dialek tidak mempunyai bentuk tulisan, hanya lisan, tetapi ia tidak akan mati walaupun berlaku campuran dengan bahasa baku.

"Dialek itu sifatnya asli kepada sesuatu bahasa. Orang tidak akan meninggalkan bahasa itu, ia mungkin cair dengan pengaruh loghat lain, tetapi tidak akan hilang,” katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement