Skip to main content

Malaysia

Perdana Menteri Nepal jamin kerjasama proses pengesahan status 54 rakyat Malaysia - Anwar

Menurut Anwar, kerajaan Nepal bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu keluarga di Malaysia mendapatkan kepastian mengenai nasib mangsa yang terlibat bencana banjir di negara berkenaan. - Foto Astro AWANI/ Firdaus Mohari
Menurut Anwar, kerajaan Nepal bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu keluarga di Malaysia mendapatkan kepastian mengenai nasib mangsa yang terlibat bencana banjir di negara berkenaan. - Foto Astro AWANI/ Firdaus Mohari

Advertisement

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Nepal, Balendra Shah berhubung usaha menentukan status 54 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan bencana banjir di negara berkenaan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Nepal bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu keluarga di Malaysia mendapatkan kepastian mengenai nasib mangsa yang terlibat bencana tersebut.

Tambah Anwar, beliau sudah meminta Peguam Negara mengambil tindakan susulan, termasuk meneliti ruang perundangan yang boleh digunakan bagi mempercepat proses berkenaan.

"Saya telah berhubung dengan Perdana Menteri Nepal. Beliau sedia memberikan seluruh kerjasama. Kita telah meminta Peguam Negara untuk mengambil tindakan susulan.

“Mereka mempunyai undang-undang sendiri, begitu juga kita. Tempoh yang ditetapkan di negara kita ialah enam atau tujuh tahun, manakala di negara mereka pula tiga tahun.

“Tetapi kita masih boleh membuat permohonan kepada mahkamah dan beliau telah memberi jaminan bahawa beliau akan memberikan semua kerjasama yang diperlukan bagi memudah cara supaya keluarga mangsa boleh mendapatkan keputusan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di Kuarters TUDM, Sungai Besi, di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, kerajaan Nepal dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah perundangan bagi menentukan status individu yang masih belum dapat dikenal selepas hampir dua bulan bencana banjir melanda negara itu.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Negeri memaklumkan langkah berkenaan masih tertakluk kepada proses perundangan domestik Nepal dan belum dikuatkuasakan setakat ini.

Must Watch Video

Advertisement