Timbalan Perdana Menteri Thailand Jurin Laksanavisit berkata Malaysia bersetuju untuk meneruskan semula pergerakan barangan menerusi jalan darat melalui pusat pemeriksaan Padang Besar di daerah Sadao, Songkhla, selatan Thailand mulai hari ini.

Jurin yang juga Menteri Perdagangan berkata pengangkutan barangan melalui pusat pemeriksaan Padang Besar yang dihentikan sementara untuk mengekang penularan wabak COVID-19 akan diteruskan semula hari ini.

Pergerakan rel kargo di pusat pemeriksaan Padang Besar telah bermula semula pada 11 April.

"Thailand akan menghantar semua barangan termasuk kayu getah, buah-buahan dan produk komoditi ke Malaysia melalui rel dan trak kargo menerusi pusat pemeriksaan Padang Besar mulai esok.

"Ini akan meningkatkan eksport perdagangan sempadan antara Thailand dan Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang membuka semula pusat pemeriksaan Padang Besar bagi pergerakan barangan untuk meningkatkan kerjasama perdagangan sempadan.

Bulan lepas, Jurin menulis surat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta bagi diteruskan semula pengangkutan barangan melalui jalan darat antara Malaysia dan Thailand.

Malaysia ialah rakan dagang terbesar Thailand bagi perdagangan sempadan dengan dagangan dua hala bernilai 56.47 bilion baht (RM35.33 bilion) tahun lepas.

-- BERNAMA