KUALA LUMPUR: Pergerakan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri menjadi punca peningkatan kes COVID-19 di Kuching.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Sabtu, kebanyakan kes yang dilaporkan di daerah itu adalah melibatkan ahli keluarga daripada kontak rapat kes positif sebelum ini.

"Kes yang tinggi di daerah Kuching adalah terdiri daripada kes-kes yang dikesan mempunyai kontak dengan kes-kes positif sebelum ini (melebihi 95 peratus) yang kebanyakannya merupakan ahli keluarga melibatkan pergerakan semasa Hari Raya yang lalu," jelas JPBN Sarawak.

Ujar kenyataannya pada hari ini, Sarawak mencatatkan penambahan 749 kes baharu yang mana 149 kes daripadanya direkodkan di Kuching.

Jelas jawatankuasa itu lagi, angka yang tinggi di negeri berkenaan kemudiannya diikuti oleh Sibu dengan 125 kes, (93) Miri, (79) Mukah, (49) Kanowit dan (48) Bintulu.

Selebihnya, (37) Belaga, (24) Sri Aman, (21) Samarahan, (20) Kapit, (16) Selangau, (11) di Serian dan Betong.

"Manakala 10 kes dicatatkan di daerah Sebauh, Pakan serta Subis. Bakinya tujuh kes di Tatau, lima di Beluru, Asajaya, tiga di Bau dan Pusa.

"Empat daerah lain iaitu Bukit Mabong, Saratok, Julau dan Daro masing-masing mencatatkan dua kes baharu. Selebihnya satu kes di Sarikei, Dalat, Lundu, Song dan Meradong," jelas kenyataan terbaharu JPBN Sarawak.

Pernambahan kes-kes yang dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif setakat ini meningkat kepada 41,620 kes, dedah kenyataan sama.

Sementara itu, dua kematian baharu dilaporkan di negeri itu. Ini menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 meningkat kepada seramai 249 orang.

Selain itu, JPBN Sarawak turut memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi Rumah (Rh) Keli, Sg Minus, Sarikei berkuat kuasa dari 22 Mei sehingga 7 Jun 2021.