Keputusan melibatkan kejadian pergerakan tanah di rumah banglo di Jalan Kelab Ukay 2, Taman Kelab Ukay, Ampang akan diputuskan selepas laporan penuh siasatan oleh beberapa agensi yang akan dikeluarkan pada 8 Januari depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan Selangor akan membuat keputusan selepas agensi terbabit, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menjalankan kajian teknikal yang teliti di kawasan yang terjejas.

“Pemilik rumah ini telah mengosongkan unitnya manakala jiran berdekatan di dua rumah lain juga telah mengosongkan kediaman masing-masing.

“Jiran bersebelahan dengan banglo ini megambil keputusan untuk mengosongkan kolam renang di rumahnya supaya tekanan di kawasan itu dapat dikawal.


“Saya percaya pada 8 Januari ini, hasil laporan daripada jabatan dan agensi teknikal yang terlibat, kerajaan akan ambil keputusan segera untuk laksanakan tindakan mitigasi,” kata Mohamed Azmin kepada wartawan selepas membuat tinjauan di kawasan banglo tersebut pada Sabtu.


Mohamed Azmin berkata, arahan untuk merobohkan rumah berkenaan atau sebaliknya hanya akan dimuktamadkan sebaik laporan siasatan lengkap dikeluarkan.

Khamis lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengarahkan banglo tersebut untuk dirobohkan secepat mungkin, manakala dua lagi yang lain dikosongkan serta-merta.

Unit Bencana Selangor mengambil beberapa langkah mitigasi telah dan buat sementara ini, kanvas digunakan untuk menutup kawasan terjejas untuk mengelakkan air daripada terus bertakung. - Astro AWANI/ISABELLE LEONG

Mohamed Azmin juga mengakui bahawa kawasan yang terjejas merupakan kawasan yang sensitif sejak beberapa tahun yang lalu.

Katanya lagi, perbincangan akan diadakan bersama-sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengambil tindakan untuk memulihkan kawasan yang terjejas, jika terdapat keperluan.

Berhubung punca kejadian pula, beliau berkata ia belum dikenal pasti kerana pasukan teknikal masih dalam proses meneliti pelan pembangunan rumah yang terjejas.


“Saya tidak mahu mebuat spekulasi kerana ia satu keadaan yang memerlukan maklum balas teknikal daripada pakar yang terlibat dan saya kira, kita perlu berikan ruang kepada mereka.

“Cuma saya meminta mereka menyegerakan kerana sebarang kelewatan dalam mengambil tindakan akan menyebabkan keadaan kawasan sekitar terganggu dan akan menyebabkan keyakinan penduduk terhakis.

“Saya mahu memberi jaminan dengan tindakan yang akan diambil bahawa kawasan ini selamat dan keselamatan penduduk adalah amat penting bagi kerajaan,” tambahnya.

Mengulas sama pemilik rumah akan diberikan pampasan, beliau berkata perkara berkenaan akan diputuskan kemudian memandangkan unit tersebut merupakan tanah milik persendirian dan bukannya di bawah kerajaan negeri.


Untuk rekod, beberapa kawasan berbukit di Ampang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko kerana kejadian tanah runtuh, pergerakan tanah dan runtuhan cerun kerap berlaku.

Ia termasuk kejadian runtuhan satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers pada 1993 yang mengorbankan 48 orang dan tanah runtuh di Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa yang membabitkan 14 banglo dan meragut empat nyawa.

BACA: KPKT harap proses pengambilan tanah Highland Towers dipercepat