SEJAK 1987 - pada tahun yang penuh dengan kemeriahan Baca Puisi Jalanan di Pasar Seni - saya mengenali sosok lelaki ini.
Orangnya kurus jangkung dan berambut keriting. Kami sama-sama suka "melahu" dan menghabiskan waktu di pedestrian Pasar Budaya melihat geng baca sajak dan lagu puisi.
Marjan S atau Roslizan Yaakob - anak jati Bukit Jenun, Pendang, Kedah. Saya anak Jalan Langgar, Alor Setar.
Kami selalu bergurau: "Hang mai Bukit Jenun kot mana biodata penulis hang jadi orang Sungai Petani?"
Persahabatan akrab kami tidak memakan masa. Sebulan dua duduk melepak melihat orang baca puisi menjadikan kami akrab.
Kami sebaya; waktu berusia 20 tahun - kami punya minat yang sama - ingin jadi penyair.
Persahabatan yang bukan sepele; saya menganggapnya seperti saudara kandung. Kalau dia yang menelefon saya - pasti saya jawab.
Sikap yang melebihi mana-mana bos saya selama 25 tahun bekerja. Ada masa saya mengelat kalau "menyampah" mendengar suara bebel seorang ketua.
Marjan S saya anggap saudara; satu "baiah" anak dagang asal Kedah yang melilau mencari jalan menjadi penyair dalam meriah semangat Pasar Seni yang 33 tahun lalu.
Kami sama-sama kemaruk mahu menulis puisi.
Banyak kenangan yang ada antara kami. Saya tidak begitu mengenang soal hubungan "sastera" - tetapi kenangan lain terasa lebih menghambat rasa.
Tidak akan ada "scene" penyangak atau berandal menghisap sigar dalam cerpen atau novel saya kalau bukan pengaruh Marjan S.
Ketika kami bosan - terutama pada tahun-tahun awal 2000an selepas saya menyepi di Shah Alam dan Marjan S sibuk sebagai posmen di Kuala Lumpur - sigar menyatukan kami.
Saya akan menjemputnya di Flat Sri Kota pada Sabtu atau Ahad dan kami akan ke Jalan Petaling mencari sigar.
Marjan "menggurui" saya mengenal sigar. Sampai sekarang tiap kali melintas apa sahaja mengenai "Romeo & Juliet" saya teringat sigarnya.
Itu bukan jenama untuk mengenang William Shakespeare (1595-1597). Atau kisah cinta aneh Leonardo de Caprio dan Claire Danes dalam filem roman arahan Buz Luhrman (1996).
Saya akan mengingat jenama sigar pertama Marjan S perkenalkan ketika di kedai "auntie" Jalan Petaling.
Kami beli sigar dan ngopi di meja luar Kafe Swiss Garden, Belakang Pasar Karat, Jalan Petaling. Meja luar yang sepi dan kami duduk berdua bercerita hal-hal masa lalu mengenai kampung laman masing-masing.
Sangat jarang kami bercakap soal sastera. Selalunya, sambil mengepam sigar, kami mengimbau soal hidup masa kecil dan saudara-mara dan keluarga kami di kampung.
Dia rindukan dunia desa yang hilang di Bukit Jenun setelah menjadi perantau di Kuala Lumpur. Saya hilang dunia kampung setinggan sepanjang Sungai Kedah selepas lari ke kota.
"Hang macam aku juga, orang tua-tua di kampung selalu dalam ingatan," kata saya.
Kami membebel hal kampung. Saya tahu selok-belok Bukit Jenun kerana pernah menjadi buruh kontrak mengecat bangunan Sekolah Kebangsaan Bukit Jenun sekitar tahun 1982 ketika cuti Sijil Rendah Pelajaran.
"Pak menakan (bapa saudara) aku masih ada sana cuma aku jarang balik," kata Marjan S.
Pada tahun-tahun 2000an setelah kami akrab sepanjang 1990an kerana selalu ngeteh di Pasar Budaya, Marjan S bukan rakan penyair saya. Dia kawan biasa mengisi "sepi luar biasa" hujung minggu.
Seorang penyair dengan latar posmen dan seorang Penerbit Berita berkongsi kisah hidup merindukan dunia orang kampung. Dua manusia yang senak dan sesak serta kerap bosan dan jelak dengan Kuala Lumpur.
MARJAN S BERTARUNG MAUT
Marjan S pernah bertarung dengan maut apabila dimasukkan ke Institut Perubatan Raspiratori akibat jangkitan batuk kering.
Allah izinkan usianya panjang walaupun terpaksa menggunakan bantuan mesin pernafasan. Seterusnya menerima suntikan wajib 100 hari bagi proses pemulihan selepas keluar wad. Itu sekitar tahun 2000.
Itu juga detik yang "mengikat" kami. Pada waktu itu, saya sudah menyangka Marjan S tidak akan berupaya keluar dari keadaan nazaknya.
Namun, umurnya panjang. Kami bertemu tiap hujung minggu dan ketika itu dia sudah berhenti merokok dan minatnya pada paip.
Ketika pertama kali saya memiliki kereta Kembara pada tahun 2001 - dia orang pertama saya ajak berkendera. Kami pusing-pusing dan berhenti di depan Balai Bomba Bandar Tun Razak sekitar 11 malam.
Kami berbual "hal penting" secara hati ke hati hingga 2 pagi. Saya menasihatinya sebagai saudara kandung.
Akhirnya, sebelum pulang ke Shah Alam, saya akhiri kata-kata: "Kalau aku di tempat hang, aku takkan buat. Demi Allah, aku takkan sanggup buat...."
Saya akhiri kata-kata itu sebagai nasihat. Apa isunya, biarlah itu antara saya dan Marjan S sahaja. Sebenarnya, dia menghargai nasihat saya.
Saya tahu apabila dia mendiam diri dan tidak meneruskan kemahuannya yang saya bantah dengan keras sebagai seorang saudara.
MARJAN S BAHAN GURAUAN
Marjan S selalu menjadi bahan gurauan kasar saya di depan kawan-kawan. (Moga dia memaafkan saya). Namun, dia antara kawan yang membuatkan saya sanggup memandu dari Shah Alam ke Cheras kalau "diarahkan".
Saya pasti segera saya datang.
Dia hadiahkan saya satu set lengkap baju dan beg sandang National Geographic pada 2011. Saya menyimpan begnya dengan baik dan bajunya saya pakai sampai sekarang.
Malah, itu baju lapik yang saya selalu pakai termasuk minggu ini, kalau tampil menjadi joki "live" apabila mengenakan kemeja T atau baju nipis besbol.
KAMI TIDAK PERNAH BERBALAH
Sangat banyak kenangan selama 33 tahun berkawan. Kami tidak pernah berbalah. Saya sangat menghormatinya sebagai "budak kampung" yang ingin menjadi penyair sejak mengenalinya pada 1987.
Seterusnya, saya kagum kerana Marjan S ialah posmen yang menyair.
Selebihnya, dia guru yang mengajar saya mendalami "dunia sigar".
Saya tidak melekat dengan tabiat sigar. Namun, segala pengetahuan "luar biasa" mengenai sigar yang diajarkan secara meluas oleh Marjan S menjadi salinan semula yang wujud dalam tulisan-tulisan saya.
PERGINYA KAWAN ASAL BUKIT JENUN
Pada 4.34 petang 15 Januari - saya terdiam sebentar ketika membaca pesanan WhatsApp kiriman Syukri Abdullah selepas selesai "live" Garasi TV.
"Marjan S sudah tiada".
Saya terdiam. Selain sigar, set lengkap National Geographic dan Evisu Made In China yang diberikannya - saya teringat WhatsApp akhirnya: "Aku dah dapat buku puisi Benih Semalu karya Pak Samad yang hang suruh cari. Mai la ambil."
Saya tidak sempat mengambilnya.
Selamat jalan saudaraku. Marjan S sang penyair dan bekas posmen yang menjadi penjual buku terpakai. Lelaki kurus jangkung berambut keriting yang selalu menyenangkan kalau duduk berbual berdua.
Kopi panas di Kafe Swiss Garden, sigar Romeo & Juliet dan kenangan antara Bukit Jenun dan Jalan Lumpur akan selalu ada dihati kita.
Kamu sudah pergi. Pasti satu hari aku akan menyusul pula.
Al Fatihah.
* Penulis merupakan wartawan dan penulis sastera. Antara novelnya, Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012) dan Empunya Hikayat (2014).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Zainal Rashid Ahmad
Sat Jan 16 2021
Marjan (gambar) mengajar penulis mengenal sigar. "Sampai sekarang tiap kali melintas apa sahaja mengenai 'Romeo & Juliet' saya teringat sigarnya."
USM cipta rekod hasilkan kaligrafi Cina 2.68km
Penuntut USM cipta rekod dalam MBOR apabila menghasilkan penulisan kaligrafi Cina sepanjang 2.68 kilometer.
MITRA sudah belanja RM40 juta daripada peruntukan RM100 juta tahun ini
Sebanyak RM40 juta daripada peruntukan RM100 juta yang disalurkan kerajaan tahun ini kepada MITRA telah dimanfaatkan untuk pelbagai program.
Laporan Pasaran Labuan IBFC 2023 tunjukkan pemulihan kukuh, pertumbuhan luar biasa
Laporan Labuan IBFC 2023 mendedahkan pertumbuhan luar biasa wilayah itu yang menyumbang RM1.2 bilion kepada hasil fiskal Malaysia dan melepasi paras RM1 bilion buat pertama kalinya.
Freedom Flotilla to Gaza: Guinea-Bissau akur kepada Israel, tidak beri kebenaran guna bendera bagi misi pelayaran
Kerajaan Republik Guinea-Bissau dilaporkan tunduk dan akur kepada gesaan Israel untuk tidak membenarkan misi pelayaran Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza menggunakan bendera mereka.
Penyakit berkaitan haba dikhuatiri meningkat di Gaza
Penularan penyakit berkaitan haba panas menjadi kebimbangan terbaharu di Gaza selepas suhu luar jangka melampau melanda wilayah itu setiap hari. Ia sudah semestinya diburukkan lagi dengan kekurangan air bersih dan ketiadaan sistem pembuangan sisa pepejal yang sepatutnya wujud di sesebuah kawasan didiami manusia.
Ilhan Omar melawat peserta tunjuk perasaan
Wakil Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Ilhan Omar mengadakan lawatan di kampus penyokong Pro Palestin di Universiti Columbia New York pada Khamis.
Dua lelaki didakwa jadi 'tali barut' kepada China
Dua lelaki yang mana salah seorangnya pernah bertugas di Parlimen United Kingdom (UK) enjalani proses perbicaraan di mahkamah London pada Jumaat selepas didakwa menjadi tali barut menyalurkan maklumat sulit kerajaan kepada negara tembok besar itu.
Polis serbu pejabat 'Save the Children' di Guatemala
Polis Guatemala melakukan serbuan mengejut ke atas pejabat-pejabat Pertubuhan Save the Children di pelbagai lokasi di negara itu. Ia bagi mencari bukti dakwaan pertubuhan yang memperjuangkan kebajikan kanak-kanak itu, terlibat dalam jenayah penderaan terhadap golongan itu.
LIMA '25 dianjurkan pada 20-24 Mei tahun depan
Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LlMA ‘25) akan dianjurkan pada 20 hingga 24 Mei tahun depan bertemakan Innovate Today, Thrive Tomorrow.
Malaysia komited tingkat hubungan dua hala bersama Libya
Malaysia terus komited mempertingkatkan hubungan dua hala yang berterusan bersama Libya demi manfaat bersama dalam pelbagai sektor.
Perginya Marjan S penyair posmen (1967 - 15 Januari 2021)
Marjan S saya anggap saudara, satu 'baiah' anak dagang asal Kedah yang melilau mencari jalan menjadi penyair dalam meriah semangat Pasar Seni 33 tahun lalu.