Skip to main content

Malaysia

Perhebat operasi bantu mangsa banjir - Hajiji

41737882414_TBhajijiNoor.jpg
Hajiji (foto) berkata semua agensi keselamatan dan jabatan berkaitan telah digerakkan bagi memastikan operasi menyelamat serta pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) dapat dilakukan dengan pantas serta teratur.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memperhebat operasi pemindahan dan penyaluran bantuan kepada mangsa banjir di beberapa daerah terjejas bencana itu susulan hujan berterusan sejak semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata semua agensi keselamatan dan jabatan berkaitan telah digerakkan bagi memastikan operasi menyelamat serta pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) dapat dilakukan dengan pantas serta teratur.

Advertisement

“Saya merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa terjejas. Keselamatan rakyat  menjadi keutamaan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri sedang dan akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan bantuan disampaikan dengan cepat dan berkesan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Hajiji menggesa semua penduduk di daerah dilanda banjir serta kawasan berhampiran sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa, tidak mengambil sebarang risiko dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.

“Dalam Ramadan penuh rahmat, marilah kita saling mendoakan dan menghulur bantuan mengikut kemampuan. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada semua yang sedang diuji,” katanya.

Terdahulu, daerah Kota Marudu, Pitas dan Paitan diisytihar banjir pada 6 pagi tadi ekoran hujan berterusan sejak semalam, dengan beberapa PPS telah beroperasi bagi menempatkan mangsa. 

Beberapa kawasan dan taman perumahan di Sandakan dilaporkan turut terjejas banjir seperti Kampung Pangeran, Taman Fajar dan Taman Merpati selain kejadian jalan utama dinaiki air dan pokok tumbang juga dilaporkan berlaku.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video