Skip to main content

Malaysia

Perhilitan kesan gajah liar dilanggar kenderaan di Jalan Jerangau-Jabor

[TB]_Suami isteri nyaris maut kereta rempuh gajah_SINAR
Tiga individu cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kereta selepas sebuah daripadanya melanggar seekor gajah di Kilometer 160 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Ladang Jabor dekat sini malam tadi. - Gambar fail/ Sinar Harian
Advertisement

DUNGUN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sedang mengesan seekor gajah liar dipercayai dilanggar sebuah kenderaan di Kilometer 160 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Ladang Jabor dekat sini malam tadi.

Pengarah Perhilitan Terengganu Dennis Ten Choon Yung berkata lima kakitangan agensi itu bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat bagi menjalankan pemeriksaan dan mengesan gajah berkenaan.

Beliau berkata gajah liar itu dipercayai tersesat keluar dari hutan simpan berhampiran, iaitu Hutan Simpan Bukit Bandi-Cerul.

“Gajah berkenaan dipercayai daripada spesies gajah Asia manakala jantinanya masih belum dapat dikenal pasti. Pemantauan dan pemeriksaan lanjut terhadap mamalia berkenaan akan terus dilaksanakan bagi mengenal pasti lokasi serta memastikan keadaan semasa gajah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan lumpur dan kesan makanan yang dipercayai muntah gajah berkenaan berhampiran kereta Perodua Ativa yang terlibat dalam kemalangan itu.

Selain itu, Ten berkata terdapat papan tanda lintasan hidupan liar dipasang kira-kira empat kilometer dari lokasi kemalangan.

“Pemandu kenderaan dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi had kelajuan, khususnya ketika melalui kawasan yang berpotensi menjadi laluan hidupan liar,” katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan tiga individu cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kereta selepas sebuah daripadanya melanggar seekor gajah di Kilometer 160 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Ladang Jabor dekat sini malam tadi.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement