REMBAU: Seekor harimau kumbang jantan seberat 41.5 kilogram ditangkap sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, selepas haiwan itu memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Chembong Kecil, dekat sini, hari ini.

Pengarah Perhilitan negeri Wan Mat Wan Harun berkata, perangkap itu dipasang sejak Selasa lepas, susulan aduan penduduk kampung mengenai harimau kumbang berkeliaran sehingga membaham haiwan ternakan milik penduduk di kampung berkenaan, sejak 21 Mac lepas.

"Haiwan itu memasuki perangkap pada 8.30 pagi dan sebaik menerima maklumat itu, 12 anggota Perhilitan Negeri Sembilan dihantar ke kampung berkenaan untuk memeriksa perangkap tersebut.

"Kami dapati harimau kumbang itu berada dalam keadaan sihat dan tetap akan diberikan rawatan oleh pegawai veterinar Jabatan Perhilitan terlebih dahulu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata hidupan terancam itu akan dilepaskan ke kawasan perlindungan di negeri ini, yang berada di bawah jagaan Jabatan Perhilitan bagi memastikan spesiesnya terjaga.

Wan Mat turut berkata setakat tahun ini pihaknya telah menyelamatkan tiga ekor harimau kumbang daripada diancam kepupusan.

-- BERNAMA