Persatuan Pengusaha Zoo, Pembiakbakaan, Peniaga & Pemelihara Hidupan Liar Malaysia (P4PHM) mendakwa bahawa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) cuba menutup isu 'haiwan hilang' di Zoo Melaka.

P4PHM berkata persatuan itu sedang merancang untuk membuat laporan kepada pihak polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pengerusi jawatankuasa kecil kebajikan haiwan dan etika P4PHM Dr Razeem Mazlan Abdullah ketika dihubungi berkata kenyataan terbaru oleh Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abd Rasid Samsudin merupakan "pembohongan secara terang-terangan".

"Beliau mengatakan bahawa haiwan telah dipindahkan ke pusat penyelamatan, tetapi di mana pusat-pusat ini? Di manakah haiwan ini? Adakah haiwan-haiwan ini sihat? Adakah haiwan-haiwan ini hidup atau mati? " tanya Razeem, seorang bekas doktor haiwan di zoo tersebut.

Razeem mendakwa bahawa Perhilitan sebenarnya mengalihkan haiwan-haiwan ini dari satu zoo ke zoo lain dan tidak meletakkan ke tempat perlindungan, sepertimana dikatakan oleh Perhilitan sebelum ini.

"Mereka ambil haiwan dari satu tempat dan membuangnya ke tempat lain," katanya. Beliau memberi contoh singa dari Zoo Saleng Johor telah dipindahkan ke Zoo Kemaman di Terengganu.

"Haiwan yang dikatakan dirampas telah disuntik dengan ubat pelali tanpa sebab yang betul," beliau mendakwa lagi.

Pada Khamis, Razeem mendakwa bahawa 230 haiwan Zoo Melaka telah “hilang dan tidak dapat dikesan”.

Kenyataan berdasarkan senarai haiwan apabila Perhilitan menyerahkan pengurusan zoo kepada sebuah konsortium swasta awal tahun ini.

Haiwan-haiwan yang hilang termasuk mamalia, reptilia dan burung. Razeem telah diupah sebagai kurator sementara pada masa itu.

Perhilitan bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan mengatakan bahawa haiwan-haiwan tidak hilang dan hanya diletak di pusat penyelamatan di bawah jagaannya.

"Apabila saya berada di sana, seekor zirafah mati dan saya berpendapat Perhilitan berbohong apabila mereka bercakap tentang punca kematian kerana terdapat tiada post-mortem dilakukan setakat yang saya tahu," kata Razeem.

Beliau mendakwa zirafah terbabit mati kerana tidak diberikan makanan selama tiga hari dan menyalahkan Perhilitan kerana gagal untuk melakukan perkara yang sepatutnya semasa penyerahan haiwan-haiwan itu.

"Apabila pengurusan baru dan saya meminta senarai haiwan yang sepatutnya, Perhilitan enggan memberi kerjasama dan memberi alasan bahawa perkara ini di bawah Akta Rahsia Rasmi," dakwanya.

Beliau berkata Perhilitan dikatakan mengalihkan haiwan-haiwan ini atas alasan zoo telah sesak dan pengurusan gagal menguruskan haiwan di dalam.

"Ini tidak sepatutnya berlaku, Perhilitan hanya melepaskan segalanya kepada pengurusan baru untuk mengendalikan zoo tanpa memastikan makanan mencukupi untuk haiwan ini, "dakwa beliau.

Sementara itu ketika dihubungi Astro Awani, pengarah Perhilitan Melaka, Mohammad Khairi Ahmad menyifatkan dakwaan P4PHM sebagai "dakwaan kosong".

"Memang kita nafi dakwaan haiwan telah dipindah ke zoo lain atau disuntik ubat pelali. Haiwan-haiwan tersebut telah diletakkan di pusat penyelamatan di Perak, Pahang, Johor atau dilepaskan ke dalam hutan," kata Mohammad Khairi.

Beliau juga menafikan terdapat pelanggaran prosedur seperti yang didakwa. Katanya pemindahan haiwan pergi melalui proses yang ketat yang turut memerlukan kelulusan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

"Kami perlu memastikan Zoo Melaka mengikuti peraturan-peraturan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Terdapat kes-kes di mana kandang mereka tidak cukup besar jadi kami memindah keluar haiwan ini," katanya.

"Organisasi ini juga mendakwa bahawa terdapat dua ekor zirafah yang mati. Tetapi terdapat hanya seekor, dan ia mati akibat terjatuh. Memang ada bedah siasat yang dilakukan, kalau tidak bagaimana kita tahu punca kematian."

Beliau juga menafikan dakwaan Perhilitan tidak bekerjasama semasa pemindahan pengurusan zoo.

"Memang ada sesetengah maklumat dianggap rahsia kerajaan, tetapi maklumat yang diperlukan sudah diketahui pengurusan baru zoo masa itu," katanya.

Mohammad Khairi berkata bahawa pihak Perhilitan adalah terbuka untuk disiasat kerana ia adalah hak semua pihak sekiranya mereka mempunyai apa-apa keraguan terhadap kerja jabatan.

"Sebelum mereka keluar dengan kenyataan yang membuat dakwaan tidak berasas, mereka harus menyemak fakta-fakta dengan kami terlebih dahulu." akhiri beliau.