Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Perhilitan Perak sahkan penemuan tapak kaki harimau belang

61708072849_TBHarimauMalaya.jpg
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan penemuan beberapa kesan tapak kaki harimau belang berdekatan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando, di Ipoh, semalam. - Foto hiasan
Advertisement

IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan penemuan beberapa kesan tapak kaki harimau belang berdekatan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando, di sini semalam.

Pengarah Perhilitan Perak Dr Pazil Abdul Patah berkata ia susulan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh oleh anggota Perhilitan di lokasi kejadian sejurus menerima aduan awam pada 9.30 pagi.

“Pemantauan akan diteruskan berdasarkan penilaian risiko dan perkembangan semasa, khususnya maklumat berkaitan pergerakan harimau belang tersebut daripada anggota Perhilitan di lokasi kejadian.

“Penduduk dinasihatkan supaya tidak menghampiri atau cuba menjejaki harimau tersebut, mengelakkan aktiviti bersendirian di kawasan berisiko dan segera melaporkan sebarang kehadiran,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama, hari ini.

Semalam, penduduk di beberapa lokasi sekitar Ulu Kinta gempar berikutan penemuan kesan tapak kaki dipercayai milik seekor harimau belang berdekatan kem berkenaan.

Ini kali kedua kehadiran hidupan liar itu dikesan selepas Perhilitan Perak berjaya menangkap seekor harimau belang jantan di kawasan berhampiran Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta pada 20 Dis 2023.

Sementara itu, Pazil berkata haiwan pemangsa itu juga dipercayai mendiami Hutan Simpan Bukit Kinta, yang terletak kira-kira 1.04 kilometer dari lokasi penemuan kesan tapak kaki berkenaan.

“Hutan Simpan Bukit Kinta merupakan habitat asal bagi spesies ini, dan kita percaya haiwan berkenaan merayau keluar dari kawasan hutan tersebut untuk mencari sumber makanan,” katanya.

Mengulas mengenai langkah kawalan, beliau berkata sebuah perangkap telah pun dipasang lebih sebulan lepas di lokasi berhampiran, kira-kira 1.35 kilometer dari kawasan kelibat haiwan berkenaan dikesan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement