GUA MUSANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada Ahad berjaya memindahkan seekor gajah jantan yang dipercayai sering menceroboh masuk ke kawasan kebun dan penempatan penduduk di sekitar Kampung Pulau Setelu di sini.
Pengarah Perhilitan Kelantan Wan Mohd Adib Wan Yusoh berkata mamalia terbesar di darat itu dianggarkan berumur lingkungan 15 hingga 18 tahun.
Beliau berkata operasi turut disertai 19 anggota termasuk dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka, Terengganu dan Kuala Gandah, Pahang.
"Gajah yang diberi nama 'Awang Tar Setelu' itu berjaya ditangkap pada 23 Julai lepas dan dipujuk keluar menggunakan khidmat dua ekor gajah denak betina bernama Suria dan Indah pada Ahad.
"Operasi itu bermula pada 9 pagi dan tamat empat jam kemudian... gajah ini akan dilepaskan ke habitat asal," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Penduduk Kampung Pulau Setelu, Zakaria Omar, 62, berkata penduduk berdepan ancaman gajah liar sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga mengalami kerugian hasil tanaman termasuk kelapa sawit, pisang dan durian kunyit.
"Ada gajah yang pernah menghampiri kawasan rumah penduduk dengan jarak sekitar dua hingga empat meter menyebabkan kami sentiasa berjaga-jaga untuk keluar dari rumah," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Mukim Bertam Barat Mokhtar Dahari Ibrahim berkata penangkapan haiwan liar tersebut memberi kelegaan kepada lebih 1,000 penduduk.
"Hampir dua minggu pihak Perhilitan berkampung di sini, akhirnya proses pemindahan gajah liar itu ke habitat lain berjaya dilakukan... penduduk amat gembira dan lega dengan penangkapan gajah ini.
"Kami berharap tidak ada lagi gajah lain datang ke kampung ini... terima kasih diucapkan kepada pihak Perhilitan kerana bertungkus lumus dan memberi sepenuh komitmen untuk membawa keluar gajah liar dari kampung kami," katanya.
-- BERNAMA