Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata ini memandangkan keutamaan parti sekarang adalah untuk merapatkan saf dalam kalangan pemimpin dan parti setelah "terpukul dengan kuatnya" pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mahu usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, agar dibawa ke Perhimpunan Agung akan datang.
Ditanya sama ada UMNO akan mempertimbangkan cadangan usul dikemukakan Jamal tersebut, Ahmad Zahid berkata "Tidak, kita akan mengkaji semua aspek sebab yang penting adalah bagi kita merapatkan saf kepimpinan," katanya selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun ke-10 Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia di sini malam ini.
Perhimpunan Agung UMNO yang asalnya dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember ini, ditangguhkan ke 11 hingga 14 Januari tahun depan.
Sementara itu, Ahmad Zahid mendakwa matlamat penubuhan Bersatu adalah untuk melenyapkan UMNO.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata perkara itu harus menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat khususnya akar umbi parti bahawa tujuan halus mereka mesti ditolak oleh keseluruhan ahli UMNO.
Terdahulu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata lebih banyak usaha dan inisiatif akan diwujudkan kerajaan bagi membantu usahawan muda termasuk golongan wanita dalam memperbanyak pinjaman untuk usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME).
Katanya walaupun kekangan ekonomi sedang melanda negara ketika ini, matlamat berkenaan tidak pernah dipinggirkan untuk memberikan peluang kepada anak muda bagi menceburkan diri dalam keusahawanan.
-- BERNAMA