Penganjur Perhimpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) harus memastikan perhimpunan itu bebas dari sebarang elemen yang boleh disalaherti sebagai provokasi perkauman.

Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, perhimpunan yang dirancang berlangsung 8 Disember itu perlu berjalan dalam keadaan aman, mematuhi undang-undang, serta tidak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

"Penganjur mesti memastikan tidak ada elemen yang boleh dilihat atau disalaherti sebagai berunsur perkauman.

"Ia mesti aman, mengikut peraturan dan undang-undang, dan harus bekerjasama dengan polis. Yang penting ia harus mematuhi Akta Perhimpunan Aman.

"Jadi, penganjur mesti mengadakan perjumpaan dengan polis dan mengambil segala langkah keselamatan untuk peserta," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

BACA: Kerajaan nyata pendirian tidak akan meratifikasikan ICERD

BACA: Cara ketepikan ICERD dengan bijaksana - Anwar

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau difahamkan penganjur iaitu Gerakan Pencetus Ummah masih menunggu permit perhimpunan dari pihak polis.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar perhimpunan yang akan turut disertai UMNO dan Pas itu, tidak dikaitkan dengan sebarang usaha menyemarakkan lagi isu perkauman.

Ia susulan rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman awal Isnin, dipercayai berpunca isu perpindahan tapak kuil.

Annuar berkata, beliau berharap pihak kerajaan lebih bertegas terhadap sebarang cubaan memecahbelahkan perpaduan yang sekian lama terjalin di kalangan kaum-kaum di negara ini.

BACA: Himpunan ICERD diteruskan, kerajaan gagal tunjuk kesungguhan - Pas

BACA: Perhimpunan bantah ICERD: Jangan emosi, elak ancam perpaduan kaum - Mujahid