Perhimpunan GARAH: 'Kritik boleh, tetapi ganggu keselamatan akan dikenakan tindakan' - Anwar

Anwar menegaskan bahawa kebebasan bersuara dan hak untuk mengkritik kerajaan tetap dibenarkan, namun tindakan yang melanggar undang-undang atau mencetuskan ketegangan kaum akan berdepan tindakan tegas. - Gambar/ Bernama
GOMBAK: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan peserta perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) agar tidak mencabar undang-undang atau mengganggu keselamatan awam.
Beliau menegaskan bahawa kebebasan bersuara dan hak untuk mengkritik kerajaan tetap dibenarkan, namun tindakan yang melanggar undang-undang atau mencetuskan ketegangan kaum akan berdepan tindakan tegas.
“Kita lebih bebas sekarang. Nak bagi pandangan boleh, nak kritik boleh. Tetapi kalau kamu ganggu keselamatan negara atau cuba mencabar undang-undang, saya akan ambil tindakan maksimum. Tangkap mereka dan humban mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PKR Selangor di sini pada Sabtu.
Anwar turut menyeru semua pihak agar tidak mengeksploitasi isu sensitif sehingga menjejaskan hubungan antara kaum, sambil menegaskan bahawa keselamatan negara tidak boleh dikompromi atas apa jua alasan.
Beliau juga mengingatkan peserta perhimpunan supaya tidak bertindak sebagai hakim atau mengambil alih peranan pihak berkuasa.
Sebelum ini, polis tidak membenarkan perhimpunan GARAH yang dijadual berlangsung di ibu kota malam ini, diteruskan atas faktor keselamatan awam dan risiko gangguan ketenteraman.
Polis menerima surat pemakluman daripada penyelaras GARAH pada 3 Februari lalu mengenai rancangan mengadakan perhimpunan aman pada jam 8 malam di lokasi itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


