Skip to main content

Malaysia

Perhimpunan rumah ibadat di Pulau Pinang tidak diteruskan - Polis

GEORGE TOWN, 11 Ogos -- Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Azizee Ismail menerima tugas sebagai Ketua Polis Pulau Pinang pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Azizie berkata polis akan terus memantau situasi berkenaan khususnya di kawasan Bukit Mertajam bagi memastikan keadaan kekal aman dan terkawal. - Gambar fail/Bernama

BUKIT MERTAJAM: Penganjuran perhimpunan mengenai sebuah rumah ibadat kecil berhampiran sebuah hospital di Pulau Pinang yang dirancang diadakan esok tidak akan diteruskan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata perkara itu diputuskan susulan perbincangan hari ini antara polis diketuai Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris bersama penganjur perhimpunan serta pengurusan rumah ibadah yang terlibat.

Advertisement

“Hasil perbincangan tersebut, kedua-dua pihak telah mencapai permuafakatan dan bersetuju supaya perhimpunan berkenaan tidak diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya tidak hadir, berkumpul atau terlibat dalam sebarang bentuk perhimpunan di lokasi tersebut atau di mana-mana lokasi lain kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan provokasi yang berpotensi mengganggu keharmonian serta menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata kawasan hospital merupakan premis penting bagi perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat dan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman di kawasan itu perlu dielakkan.

Azizie berkata polis akan terus memantau situasi berkenaan khususnya di kawasan Bukit Mertajam bagi memastikan keadaan kekal aman dan terkawal.

Mengenai perarakan keagamaan melibatkan kuil berkenaan yang turut dijadualkan esok, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan serta arahan lalu lintas yang dikuatkuasakan pihak polis selain menjaga keselamatan harta benda awam.

“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan berbentuk provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan kaum,” katanya.

Beliau berkata pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan perbuatan melanggar undang-undang.

-- BERNAMA

Must Watch Video