KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas dadah dan daun ketum serta sebuah kereta import dipercayai tidak berkastam dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM286,496 termasuk cukai pada Ogos dan Oktober lepas.
Pengarah Kastam Perlis Mohammad Furiman Hattar berkata sebanyak 61.42 kilogram (kg) dadah jenis kanabis dengan nilai keseluruhan sebanyak RM191,544 dirampas di Kuala Perlis pada 28 Ogos dan 19 Okt.
"Sebanyak 25 ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis di dalam dua bungkusan guni dengan berat keseluruhan 25 kg bernilai RM75,000 ditemukan di kawasan pelantar terbiar Sungai Kuala Perlis berdekatan Taman Pelangi, Kuala Perlis lebih kurang 9.30 malam pada 28 Ogos.
"Tiga bungkusan guni yang mengandungi 35 ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis dengan berat keseluruhan 36.42 kg bernilai RM116,544 pula dirampas di kawasan jeti Pulau Batu Layang, Kuala Perlis pada 8.15 malam, 19 Okt," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Perlis di sini, hari ini.
Mohammad Furiman berkata modus operandi disyaki meninggalkan bungkusan mengandungi dadah yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand itu di kawasan pelantar dan jeti berkenaan untuk dipungut individu lain, manakala kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 1,001 kg daun ketum bernilai RM10,010 di dalam 31 guni putih dirampas dari sebuah kenderaan Mitsubishi Pajero bernombor pendaftaran Malaysia di Chuping dekat Padang Besar kira-kira 9.30 pagi, 30 Okt.
Mohammad Furiman berkata kenderaan dalam keadaan mencurigakan itu bergerak laju di kawasan ladang kenaf, laluan menghala ke Jalan Keselamatan Sempadan Malaysia–Thailand, Lembah Chuping dan pasukan operasi daripada Unit Narkotik Padang Besar mengejar kenderaan itu sehingga memasuki kawasan hutan di Lembah Chuping dan kenderaan itu kemudiannya berjaya dikesan dengan bantuan dua pasukan lain.
"Kenderaan tersebut berjaya ditemukan dalam keadaan tidak berkunci dan mendapati tiada pemandu yang dipercayai meninggalkan kenderaan tersebut untuk melarikan diri bagi mengelakkan daripada ditahan. Pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan 31 guni putih mengandungi daun hijau disyaki daun ketum. Daun ketum ini dipercayai untuk diseludup keluar ke Thailand,” katanya.
Beliau berkata daun ketum ialah bahan tumbuhan yang mengandungi mitragynine yang disenaraikan dalam Jadual Pertama dan Ketiga, Akta Racun 1952, manakala kenderaan dianggarkan bernilai RM30,000 itu turut disita.
Dalam pada itu, Mohammad Furiman berkata pihaknya merampas sebuah kereta import jenis Mini Cooper S Clubman yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tidak berkastam dianggarkan bernilai RM33,000 dan cukai RM51,942 di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 4 petang, 28 Okt lepas.
"Kenderaan itu merupakan barang larangan import yang memerlukan permit sebagaimana diperuntukkan di bawah Butiran 3, Bahagian I, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan sebanyak 12 kes rampasan dadah direkodkan oleh JKDM Perlis bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM28,378,451.20.
-- BERNAMA