KUCHING: Kesemua 82 kerusi yang ditandingi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dianggap sebagai mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam kapasiti beliau sebagai pengerusi gabungan itu.
Abang Johari memberi analogi tersebut sekali gus mencerminkan tanggungjawab kepimpinan beliau terhadap keseluruhan calon GPS yang bertanding, selain memastikan suara gabungan itu terus menjadi wadah memperjuangkan pembangunan dan masa depan Sarawak.
“Saya sebagai Pengerusi GPS, saya bertanding di kesemua 82 kerusi,” katanya berseloroh kepada media selepas menghadiri Konvensyen Kepimpinan dan Pemerkasaan Murid Tingkatan Enam Negeri Sarawak Tahun 2026, "Aspirasi Anak Sarawak - Bicara Masa Depan bersama-sama Premier Sarawak" di hotel UCSI, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan bertanding di kerusi Demak Laut, yang turut melibatkan kawasan pembangunan strategik projek mega di Tanjung Embang.
Sebelum ini, Abang Johari beberapa kali menegaskan pendirian GPS untuk bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini, selaras dengan komitmen gabungan itu untuk terus mempertahankan mandat rakyat Sarawak.
Beliau turut mempertahankan kepentingan parti politik tempatan dalam menentukan hala tuju negeri, dengan menegaskan bahawa parti yang berpaksikan Sarawak lebih memahami aspirasi serta keperluan rakyat negeri ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari turut mengesahkan Tanjung Embang sebagai lokasi pembangunan loji pemprosesan infrastruktur kecerdasan buatan (AI), menerusi kerjasama melibatkan SoftBank, PETROS dan Grab.
Beliau menjelaskan, daripada keseluruhan komitmen pelaburan awal berjumlah AS$1.85 bilion di Malaysia, sebanyak AS$1 bilion diperuntukkan bagi projek di Sarawak, manakala baki AS$850 juta melibatkan projek di Semenanjung Malaysia.
“Loji utamanya terletak di Sarawak, termasuk loji pemprosesan bagi infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di Sarawak. Ya, di Tanjung Embang kerana kita juga mempunyai kampus AI di situ,” katanya.
Tanjung Embang turut dikenal pasti sebagai lokasi pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu dan Pelabuhan Laut Dalam, sekali gus bakal menjadi hab pembangunan infrastruktur, logistik serta teknologi berimpak tinggi di Sarawak.