Fasa kesembilan perintah berkurung di kawasan perairan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang akan berakhir esok (22 Nov), dilanjutkan lagi bermula 23 Nov hingga 8 Dis, dari jam 7 malam hingga 5 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata keputusan melanjutkan perintah berkurung yang merangkumi enam daerah di kawasan pantai timur Sabah itu dibuat selepas mengambil kira situasi keselamatan di kawasan berkenaan selain atas permintaan banyak pihak.

"Selepas mengambil kira beberapa aspek keselamatan, saya terpaksa melanjutkan perintah berkurung selepas fasa kesembilan perintah berkurung itu berakhir esok," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Program Latihan Amali Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Fasa pertama perintah berkurung di kawasan ESSZone dikuatkuasakan pada 19 Julai lalu berikutan beberapa insiden penculikan melibatkan rakyat tempatan dan asing di beberapa daerah di timur Sabah.

Sementara itu, Jalaluddin juga berkata satu mesyuarat dua hala antara polis Sabah dan polis Kalimantan Timur, Indonesia, akan diadakan dari 24 hingga 26 Dis bagi membincangkan beberapa isu keselamatan di sempadan kedua-dua wilayah.

Katanya mesyuarat tahunan di Balik Papan, Kalimantan Timur, berkenaan antara lain akan membincangkan isu berkaitan penyeludupan, jenayah rentas sempadan, penculikan, pengedaran dadah serta beberapa isu baharu yang berbangkit melibatkan Malaysia dan Indonesia.