UNICEF Malaysia menegaskan pelaksanaan perintah berkurung kepada golongan remaja berumur 18 tahun ke bawah adalah melanggar hak asasi kebebasan dan pergerakan kanak-kanak.

Wakil UNICEF di Malaysia, Marianne Clark-Hattingh memaklumkan langkah itu hanya memberi beban tambahan kepada agensi penguatkuasa tanpa memberi kesan yang efektif kepada tahap keselamatan kanak-kanak.

"Saya tidak merasakan kita boleh bandingkan Iceland dengan Malaysia kerana pertama sekali, populasinya hanya 1 peratus dan pelaksanaan itu diikuti dengan aktiviti program selepas sekolah.

"Jadi apa yang disyorkan adalah untuk ibu bapa mengambil inisiatif untuk mengetahui aktiviti kanak-kanak. Selain itu terdapat keperluan untuk memastikan suasana di luar lebih selamat untuk mereka jalankan aktiviti sihat," kata Marianne kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Tegasnya lagi, pelaksanaan cadangan itu ini tidak menjamin keselamatan kanak-kanak dan remaja, malah boleh memburukkan lagi situasi bagi anak-anak dari golongan berpendapatan rendah.

Marianne juga berkata selain pendidikan, Malaysia wajar memperkenalkan kaedah 'Pemulihan Keadilan' atau 'Restorative Justice' bagi remaja dan kanak-kanak yang melakukan jenayah kecil supaya mereka tidak dimasukkan dalam sistem penjara.

"Selain itu, saya berpendapat perlu adakan penguatkuasaan bersasar terhadap kanak-kanak berisiko dan kawasan yang sering berlaku jenayah.

"Kita juga perlu ada pekerja sosial dan kaunselor berkelayakan untuk membantu dan menyokong kanak-kanak berisiko ini,' katanya.

Marianne yakin langkah seperti ini lebih berkesan dalam menyediakan ruang kepada remaja dan kanak-kanak untuk menjalankan aktiviti positif dan selamat, serta membangunkan minda.

Sebelum ini, Garis Panduan Pencegahan Kesalahan Juvana oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) turut mengkritik pelaksanaan perintah berkurung dan menyifatkan ia hanya meletakkan stigma negatif terhadap kanak-kanak.