TABUK (ARAB SAUDI): Di tengah hamparan gurun yang memisahkan Madinah dan Mekah, terletaknya sebuah hentian di Wadi Satrah, menjadi saksi detik penat, doa dan harapan ribuan jemaah haji Malaysia.
Di sinilah jemaah berhenti seketika menghela nafas, memperbaharui tekad, sebelum meneruskan perjalanan panjang menuju Tanah Suci Mekah.
Advertisement
Namun peranan Hentian Rehat Al‑Hijrah Wadi Satrah jauh melangkaui fungsinya sebagai tempat persinggahan. Lokasi ini berfungsi sebagai pusat pemantauan pergerakan bas dan titik respons awal kecemasan sepanjang Operasi Haji Malaysia.
Dalam keadaan cuaca panas terik dan jarak perjalanan yang mencabar, pasukan Pusat Panggilan Kecemasan Lebuh Raya (PPKL) kekal bertugas tanpa henti, memastikan setiap perjalanan jemaah di laluan antara dua kota suci berlangsung selamat dan terkawal.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, Hentian Rehat Al‑Hijrah Wadi Satrah merupakan antara persinggahan paling penting bagi jemaah haji negara ini dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah.
Menurut beliau, kedudukan kawasan itu yang terletak di tengah laluan sejauh kira‑kira 440 kilometer menjadikannya lokasi kritikal sebagai pusat sokongan jika berlaku sebarang kecemasan.
“Lokasi ini berada di pertengahan antara Madinah dan Mekah. Ketika ini, kita berada kira‑kira 200 kilometer dari Mekah.
“PPKL memainkan peranan penting sebagai pasukan terawal yang akan digerakkan sekiranya berlaku sebarang kecemasan melibatkan jemaah haji di laluan ini,” katanya ketika lawatan media ke hentian rehat berkenaan di sini.
Sementara itu, Pengurus PPKL, Mohamad Azir Shahril Ahmad berkata, tugas pasukannya tidak terbatas kepada kelancaran persinggahan bas, malah merangkumi pemantauan keselamatan jemaah secara berterusan.
Menurut beliau, setiap bas yang singgah di lokasi tersebut akan berhenti sekitar sejam bagi memberi ruang kepada jemaah berehat, menunaikan solat dan menjamah hidangan, sementara pasukan PPKL memastikan segala urusan berjalan lancar.
“Kami memantau ketibaan dan pergerakan bas, menyelaras maklumat antara Madinah dan Mekah, serta menyediakan laporan pergerakan secara berterusan.
“Sekiranya berlaku kecemasan, pasukan kami adalah antara yang terawal akan digerakkan untuk memberi bantuan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pasukan PPKL turut bertanggungjawab memastikan kemudahan asas di hentian rehat seperti tandas, surau dan kawasan makan berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
“Jika ada keperluan penambahbaikan, kami akan bertindak segera kerana keselesaan jemaah adalah keutamaan,” katanya.
Namun, di sebalik operasi yang tersusun, terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi. Antaranya termasuk pemilihan lokasi hentian rehat yang sesuai, keperluan kawasan parkir bas yang luas, kemudahan mencukupi untuk menampung jumlah jemaah yang besar, serta pengurusan ketibaan bas secara serentak ketika waktu puncak.
Tambah beliau, pasukan PPKL juga berdepan kesukaran mengesan lokasi sebenar bas dalam situasi kecemasan, keterbatasan jumlah petugas, serta cabaran cuaca yang ekstrem.
“Kami berdepan cuaca panas melampau dan risiko ribut pasir yang boleh menjejaskan kesihatan serta operasi di lapangan.
“Sepanjang hampir sebulan ini, memang tiada kehidupan lain. Siang bekerja di lapangan, malam pula menyiapkan laporan,” katanya.
Menurut Mohamad Azir, beliau dan pasukannya menetap sepenuhnya di kawasan hentian rehat sepanjang tempoh operasi bagi memastikan pergerakan 31,600 jemaah haji Malaysia berjalan lancar dan selamat dari awal hingga akhir perjalanan.
“Mereka adalah tetamu Allah. Apa yang kami lakukan ini adalah tanggungjawab untuk menyantuni mereka, dan kami mengharap ganjaran pahala daripada-Nya,” katanya.