MEKAH: Jemaah haji Malaysia diingatkan agar mengutamakan ibadah dan menjaga adab di tempat suci, khususnya ketika berada di Masjidil Haram, tanpa terganggu dengan keinginan untuk merakam gambar atau video sepanjang melaksanakan rukun dan wajib haji.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, berkata walaupun mengambil gambar di sekitar Kaabah dan Masjidil Haram dibenarkan, jemaah dinasihatkan supaya tidak melakukannya ketika sedang menjalani ibadah, terutama semasa tawaf.
Advertisement
Katanya, dakwaan yang mengatakan mengambil gambar di Masjidil Haram boleh dikenakan denda sebanyak 10,000 riyal adalah tidak benar.
Menurut beliau, tumpuan utama jemaah seharusnya adalah kepada ibadah dan hubungan dengan Allah, bukan kepada dokumentasi visual yang boleh menjejaskan kekhusyukan.
“Tiada larangan untuk mengambil gambar di sekeliling Kaabah atau di Masjidil Haram. Namun, adalah lebih baik untuk tidak berbuat demikian semasa sedang melaksanakan ibadah seperti tawaf, kerana ia boleh mengganggu fokus dan tujuan ibadah itu sendiri,” katanya pada sidang media mingguan Operasi Haji 1447H/2026 di sini, semalam.
Beliau menjelaskan bahawa jemaah boleh mengambil gambar selepas selesai tawaf atau di sekitar kawasan Masjidil Haram pada masa yang sesuai, selagi mematuhi adab dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
“Jemaah diminta supaya sentiasa merujuk kepada saluran rasmi dan petugas Tabung Haji sekiranya terdapat kekeliruan atau persoalan, agar tumpuan ibadah tidak terganggu oleh maklumat yang tidak tepat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Operasi Haji 1447H/2026, Mohd Hisham memaklumkan bahawa perjalanan jemaah setakat ini berjalan lancar dan terkawal sejak penerbangan pertama pada 18 April lalu.
Setakat jam 10 pagi Ahad, seramai 7,489 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci, dengan 2,630 jemaah berada di Makkah dan 4,859 jemaah di Madinah.
Sebanyak 25 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga telah mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah mengikut jadual.
Beliau berkata, pergerakan jemaah dari Madinah ke Mekah dilaksanakan secara tersusun melibatkan dua hingga tiga bas setiap hari mengikut kumpulan penerbangan.
“Bagasi jemaah dihantar lebih awal ke bilik penginapan, manakala setibanya di Makkah, jemaah diberikan ruang untuk berehat sebelum dibimbing melaksanakan ibadah umrah,” katanya.
Mohd Hisham menegaskan, segala pengurusan dan penyelarasan dibuat bagi memastikan jemaah dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah, seterusnya menunaikan haji dalam keadaan tenang, selesa dan sempurna.