KUALA LUMPUR: Perjanjian tenaga terbaharu yang dimeterai oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Turkmenistan dan Rusia membuktikan hubungan diplomatik Malaysia yang kukuh dengan kedua-dua negara dan reputasi Petronas yang telah lama bertapak sebagai penggiat tenaga global yang dipercayai, kata penganalisis.
Ahli geostrategi dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Azmi Hassan berkata, walaupun hubungan antara kerajaan memainkan peranan penting dalam memudahkan perjanjian itu, kredibiliti dan rekod prestasi Petronas juga menjadi faktor penting untuk mendapat peluang dalam industri minyak dan gas (O&G) global.
“Mendapat peluang dalam sektor huluan sesebuah negara bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dalam industri yang strategik dan berdaya saing seperti O&G,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Sabtu, Petronas melalui anak syarikat milik penuhnya Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd memeterai beberapa perjanjian baharu bagi memperkukuh kerjasama strategik jangka panjang dengan negara itu.
Antara perjanjian itu adalah kerjasama dengan State Concern Turkmennebit dan State Enterprise Hazarnebit bagi mengukuhkan kehadiran Petronas di Laut Kaspia dan memperluas portfolio sektor huluannya di negara berkenaan.
Menurut Azmi, hubungan erat antara Malaysia dan Rusia yang telah terjalin sejak sekian lama turut membuka peluang kepada kerjasama antara Petronas dan Rosneft.
“Kerjasama sedemikian tidak berlaku dalam sekelip mata dan ia dibina melalui hubungan diplomatik yang dipupuk sejak bertahun-tahun, kepercayaan komersial dan keyakinan bersama.
“Secara keseluruhannya, ini memperlihatkan bagaimana hubungan antarabangsa yang teguh, dengan sokongan syarikat minyak nasional bertaraf dunia membuka peluang kepada Malaysia di pentas tenaga global,” katanya.
-- BERNAMA