Sebarang langkah bagi mengekang perkahwinan melibatkan gadis bawah umur adalah bertujuan melindungi golongan berkenaan daripada menjadi mangsa eksploitasi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata kerajaan turut melihat isu berkenaan bagi tempoh jangka panjang dan pengharaman perkahwinan melibatkan gadis bawah umur disebabkan kebanyakan kes yang berlaku didapati lebih menjurus kepada tindakan eksploitasi.

Katanya setiap perkara yang dibincangkan kerajaan berhubung isu berkenan adalah bagi mempertingkatkan kawalan terhadap perkahwinan bawah umur.

"Sebab ada klausa itu yang jadi masalah. Kalau kita sekadar ketatkan sahaja ia hanya akan menjadi langkah sementara sahaja.

"Walaupun dalam Islam ia (berkahwin bawah umur) boleh, tapi kita kena faham, perlu mengambil sikap demi maslahat kepentingan awam yang lebih besar terutama melindungi kanak-kanak," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Mujahid mengulas kenyataan Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang berkata kerajaan tidak perlu mengharamkan perkahwinan melibatkan kanak-kanak kerana perkara itu dibenarkan di sisi Islam.

Mohd Amar menyarankan agar kerajaan hanya mengawal perkara tersebut dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada supaya tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan.

Semalam, Mujahid berkata prosedur operasi standard berhubung perkahwinan bawah umur akan dimuktamadkan akhir bulan ini, bertujuan mewujudkan langkah jangka pendek bagi mengetatkan undang-undang sedia ada sehinggalah kerajaan menemukan penyelesaian konkrit untuk melarang sepenuhnya perkahwinan melibatkan kanak-kanak.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan tindakan seorang lelaki berusia 41 tahun dari Gua Musang, Kelantan, berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun, warga Thailand.

Peruntukan undang-undang sedia ada membenarkan perempuan di bawah 16 tahun dan lelaki di bawah 18 tahun berkahwin jika mendapat kebenaran Mahkamah Syariah.

Bagi bukan Islam, mereka perlu mendapatkan kebenaran khas ketua menteri atau menteri besar negeri berkaitan.

-- BERNAMA