MAJLIS persandingan Pasangan Pengantin Diraja Brunei, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi berlangsung dengan penuh adat istiadat.  

Istiadat gilang-gemilang itu berlangsung di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam pada Ahad. 

Majlis itu bermula dengan keberangkatan ahli-ahli Kerabat Diraja Brunei disusuli keberangkatan masuk Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Sejurus bersemayam, istiadat dimulakan dengan awang-awang menunu Dian Empat atau lilin sebagai lambang keunikan adat istiadat diraja.

Sultan Brunei menapakkan tangan pengantin lelaki ke atas jemala anakandanya sambil diiringi selawat yang dibacakan oleh Mufti Kerajaan Pehin Datu Seri Maharaja Ustaz Awang Abdul Aziz Juned. - Foto RTB


BACA: Istiadat Perkahwinan Diraja: Puteri Sultan Brunei sah bergelar isteri Awang Abdullah Nabil

Pengantin perempuan yang anggun memakai Persalinan Songket Brunei kemudian diarak masuk ke Balai Singgahsana Indera Buana diikuti pengantin lelaki yang turut memakai songket sedondon.

Sebelum pengantin lelaki berarak masuk ke singgahsana Diraja dihias indah, beliau disiapkan dengan air pandan yang dicampur bunga-bunga segar untuk memberi aroma wangian ketika bersanding. 

Perkahwinan Diraja Brunei | Istiadat persandingan penuh tradisi

Sejurus tiba di Singgahsana, Sultan Brunei menapakkan tangan pengantin lelaki ke atas jemala anakandanya sambil diiringi selawat yang dibacakan oleh Mufti Kerajaan Pehin Datu Seri Maharaja Ustaz Awang Abdul Aziz Juned.

Seiring istiadat itu, 17 das meriam turut dilepaskan.

Atas titah perintah Sultan, Baginda berkenan mengurniakan kurnia nama pengantin lelaki kepada Yang Amat Mulia Pengiran Suami Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi.

Sultan berkenan mengurniakan kurnia nama pengantin lelaki kepada Yang Amat Mulia Pengiran Suami Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi. - Foto RTB

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Kerajaan sebelum Pengiran Muda 'Abdul Mateen mengiringi kedua-dua mempelain turun singgahsana.

BACA: Ini tentatif 10 hari Istiadat Perkahwinan Diraja Brunei yang penuh tradisi

Pasangan pengantin kemudian bersalaman dengan Baginda Sultan, Permaisuri serta bonda kepada pengantin perempuan, Puan Hajah Mariam Haji Abdul Aziz. 

Hadir sama sebagai tetamu jemputan khas adalah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Ini merupakan hari kelapan daripada keseluruhan 10 hari istiadat perkahwinan tersebut.

Pasangan mempelai ini diijab kabul pada Khamis, 20 Januari lalu di Masjid Omar 'Ali Saifuddien di sini.

Esok bakal berlangsung Majlis Persantapan Diraja sebelum Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat diikuti Menutup Gendang Jaga-jaga pada Selasa.