SUKAN
TRW diberi tempoh dua hari selesaikan tunggakan gaji pemain dan jurulatih

Bekas Ketua Jurulatih TRW, Rezal Zambery Yahya, berkata langkah itu diambil selepas tiga tawaran penyelesaian yang dikemukakan oleh pihak pengurusan Kelantan TRW sebelum ini dianggap tidak munasabah dan bersifat berat sebelah. - Gambar fail/FB
KOTA BHARU: Pengurusan Kelantan The Red Warriors (TRW) diberi tempoh sehingga Selasa ini untuk menyelesaikan tunggakan gaji hampir 20 pemain dan jurulatih pasukan itu bagi musim lalu.
Bekas Ketua Jurulatih TRW, Rezal Zambery Yahya, berkata langkah itu diambil selepas tiga tawaran penyelesaian yang dikemukakan oleh pihak pengurusan Kelantan TRW sebelum ini dianggap tidak munasabah dan bersifat berat sebelah.
"Tawaran mereka termasuk potongan separuh gaji bulanan, bayaran RM500 hingga RM1,000 bagi setiap perlawanan, atau bayaran ansuran RM200 sebulan.
"Kami bukan beli penapis air yang bayar RM200 sebulan sampai 10 tahun. Jadi kami kemukakan cadangan balas dan beri masa hingga Selasa ini untuk mereka beri kata putus," katanya pada sidang media di sini hari ini.Rezal turut mempersoalkan tindakan TRW membayar gaji pemain import semata-mata bagi mengelak sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sedangkan pemain tempatan terus dianaktirikan walaupun kekal beraksi hingga tamat musim.
Katanya beberapa siri rundingan sebelum ini tidak membuahkan hasil apabila pengurusan dilihat tidak serius menyelesaikan isu tunggakan gaji sejak Februari hingga April lalu.
"Sekiranya masih gagal, aduan rasmi akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, Rezal turut mendedahkan bahawa Presiden KDN FC Rozi Muhammad masih belum menjelaskan hutang peribadi berjumlah hampir ratusan ribu ringgit yang digunakan untuk membantu operasi kelab itu termasuk membayar gaji pemain.
"Ketika pasukan berdepan krisis kewangan, saya bantu cari dana. Sekarang, saya pula yang diburu untuk melunaskan pinjaman tersebut. Saya gesa beliau tampil dan bertanggungjawab melangsaikan hutang yang tertunggak sejak September tahun lepas," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami