MALAYSIA
Perkasa AI dalam Imigresen, hantar pegawai jalani program khas - Saifuddin

Saifuddin berkata menerima pakai AI adalah penting agar jabatan kekal berdaya saing dan relevan, selari dengan perkembangan teknologi semasa. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu memperkasakan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam usaha meningkatkan kecepatan dan ketepatan sistem penyampaian jabatan tersebut.
Ringkasan AI
- JIM perkenal latihan intensif AI untuk pegawai melalui program pendedahan di UKM dan UiTM, bagi memperkasakan kemahiran dan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
- Penggunaan AI mesti diiringi penanda aras jelas, termasuk produktiviti pegawai, hasil kutipan dan keberkesanan sistem selari prinsip people-centric dan reformasi digital JIM.
- Sistem MyVISA 2.0 akan dilancar 1 Ogos sebagai platform visa digital bersepadu yang lebih pantas, selamat dan responsif kepada keperluan rakyat dan pelawat antarabangsa.
“Maksud Imigresen menerima pakai AI adalah dengan memulakan langkah seperti meminta Bahagian Sumber Manusia (HR) untuk menghantar pegawai secara berperingkat ke fakulti universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM).
“Beri pelepasan (cuti) kepada mereka selama satu hingga dua minggu bagi mengikuti program pendedahan dan latihan berkaitan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang AI.
“Langkah ini bertujuan membangunkan keupayaan dan kemahiran AI dalam kalangan warga Imigresen,” katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan Sambutan Hari Imigresen ke-103 bertemakan ‘AI Meneraju Reformasi Imigresen’ di sini pada Isnin.
Berucap lanjut, Saifuddin berkata pembangunan kompetensi pegawai secara berterusan adalah penting untuk memastikan mereka bersedia menangani kehendak semasa dan cabaran masa depan.
Katanya lagi, penggunaan AI dalam sistem penyampaian kerajaan mesti disertai dengan penanda aras yang jelas untuk memastikan keberkesanannya.
Menurut beliau, antara kayu ukur utama termasuk peningkatan produktiviti pegawai, penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan serta peningkatan hasil kutipan kerajaan.
Selain itu, pendekatan JIM dalam melaksanakan tugas perlu sentiasa berteraskan prinsip ‘people-centric’ dengan keperluan dan kesejahteraan rakyat sebagai asas utama, tambah Saifuddin.
Saifuddin juga menegaskan bahawa integriti merupakan tunjang utama dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam termasuk di JIM, dan ia perlu diterjemahkan melalui dasar 'zero tolerance' terhadap rasuah.
Mengulas kemajuan teknologi global pula, beliau merujuk kejayaan syarikat e-dagang China, Alibaba, yang mampu mengurus pangkalan data 800 juta pengguna dan memproses 230,000 transaksi sesaat semasa jualan dalam talian khas.
Sementara itu, dalam majlis sama Saifuddin turut merasmikan pelancaran Sistem MyVISA 2.0, yang akan mula digunakan pada 1 Ogos depan.
MyVISA 2.0 merupakan penambahbaikan ke atas Sistem MyVISA yang telah diperkenalkan oleh JIM pada 1 Disember 2021.
Sistem baharu ini dibangunkan semula sebagai satu platform visa digital bersepadu yang menawarkan pengalaman permohonan lebih pantas, selamat dan efisien selaras dengan kehendak rakyat dan pelawat antarabangsa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami