KUALA LUMPUR: Pada satu ketika, tulisan Jawi begitu gah di negara ini, serta diangkat sebagai tulisan perantara dalam pelbagai bidang seperti kesusasteraan, agama, sains dan sejarah.

Malah, sejarah merekodkan pada awal abad ke-15 Masihi tulisan Jawi digunakan dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat serta perdagangan.

Tulisan Jawi adalah huruf-huruf Arab dengan beberapa huruf tambahan yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu. Tulisan ini dipercayai wujud sejak abad ke-10 Masihi di gugusan kepulauan Melayu. Malah, tulisan ini pernah menjadi tulisan rasmi negara Brunei Darussalam selain digunakan secara meluas di Malaysia dan Indonesia.

Namun pengenalan tulisan Rumi yang dibawa masuk oleh penjajah ke negara ini, secara perlahan-lahan meminggirkan kepentingan tulisan Jawi, khususnya selepas tulisan Rumi diterima guna dalam sistem pentadbiran dan pendidikan negara pada era 1960-an.

Meskipun begitu, tulisan Jawi masih mendapat tempat dalam kalangan rakyat. Malah penerbit akhbar, iaitu Utusan Melayu, mengeluarkan akhbar mingguan bertulisan Jawi sebelum dihentikan pada 1 Jan 2003 dengan cetakan terakhir pada 31 Dis 2002.

Kini Jawi masih diajar di sekolah, namun suara pakar yang kebimbangan tulisan itu akan pupus dalam masa terdekat, semakin kuat kedengaran berikutan bilangan mereka yang tahu membaca tulisan Jawi semakin mengecil.


Jawi lambang identiti Melayu

Menyoroti situasi itu, Prof Madya Dr Rohana Mahmud daripada Jabatan Kepintaran Buatan, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (UM) berkata usaha memartabatkan tulisan Jawi seharusnya diperkasakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya Melayu, tentang kepentingan tulisan tersebut.

Beliau berkata tulisan Jawi mempunyai nilai yang tinggi bagi masyarakat Melayu kerana tulisan itu melambangkan identiti bangsa dan jati diri negara yang harus dipelihara.

"Tulisan Jawi ini sama pentingnya dengan tulisan Rumi kerana kedua-duanya adalah tulisan untuk bahasa Melayu. Jika sekarang kita berusaha mengangkat bahasa Melayu, hal yang sama juga perlu dibuat terhadap tulisan Jawi dan Rumi, dan keduanya perlu berjalan seiring dalam usaha memperkasakannya.

"Yang membezakan tulisan ini dengan tulisan Rumi adalah dari segi huruf. Sebutannya masih sama, iaitu kita baca setiap perkataan yang ditulis itu dalam bahasa Melayu," katanya kepada Bernama dalam satu temu ramah baru-baru ini.

Selain itu, tulisan Jawi merupakan antara identiti orang Melayu serta sumber ilmu berkaitan Tanah Melayu dan Nusantara.

Jelasnya, bagi mereka yang berhasrat meneroka peristiwa bersejarah masa lalu, terutamanya sejarah Tanah Melayu, mereka perlu mahir membaca tulisan Jawi kerana kebanyakan bahan dan manuskrip adalah dalam tulisan itu.


Guna AI perkasa Jawi

Dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi, Rohana berserta sekumpulan penyelidik daripada UM menjalankan kajian dengan penumpuan pada pendigitalan manuskrip menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurut beliau, dikenali sebagai pemprosesan bahasa tabii atau Natural Language Processing (NLP), perisian yang dibangunkan dapat memproses, memahami dan menjana bahasa tabii manusia, sama ada dalam bentuk teks atau pertuturan.

"Menerusi NLP, kita akan dapat membangunkan sistem komputer yang boleh berkomunikasi secara dua hala atau sehala, serta dapat memahami bahasa tabii kita seperti bahasa Melayu, Tamil dan Mandarin... langkah ini juga dilihat lebih efektif kerana komputer boleh memproses data dan menyimpan maklumat tanpa sempadan," katanya yang terbabit dalam kajian pendigitalan tulisan Jawi sejak 26 tahun lalu.

Jelas beliau, dengan teknologi itu, teks bahasa Melayu boleh dihasilkan dalam dua bentuk tulisan, iaitu Rumi dan Jawi melalui transliterasi.

"Menerusi transliterasi, kita dapat tukar huruf Rumi kepada Jawi atau sebaliknya," tambah beliau.

Rohana yang berkepakaran dalam bidang NLP dan pemprosesan teks menerusi komputer, berkata melalui kaedah itu juga manuskrip Melayu dan khazanah bertulisan Jawi dapat diterbitkan semula.

Beliau terbabit dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi sejak 1998 menerusi kerjasama dengan Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Malaysia (PENJAWIM), di samping turut membangunkan beberapa prototaip alat bantu pengajaran dan pembelajaran digital bertulisan Jawi.


Pendigitalan Jawi mencabar

Sementara itu, rakan sejawatan beliau daripada fakulti sama Dr Muhammad Shahreeza Safiruz Kassim berkata pendigitalan Jawi menggunakan teknologi AI berpotensi meluaskan penggunaan tulisan Jawi serta memudahkan pembelajaran mereka yang berminat mendalami tulisan tersebut.

Namun katanya, ada cabaran buat penyelidik dalam usaha mendigitalkan manuskrip lama kerana tulisan yang digunakan adalah Jawi tradisi, iaitu rangkuman perkataan Arab dan Jawi.

"Jawi tradisi ini mengandungi tatabahasa dan perbendaharaan yang tersendiri. Maka, untuk menghasilkan terjemahan yang tepat adalah sangat mencabar. Oleh itu, kajian pengecaman bahasa juga adalah perlu.

"Jawi tradisi juga mempunyai sistem ejaan dan sistem tanggaman yang unik selain ada perkataan-perkataan yang tidak lagi digunakan dalam Jawi moden sekarang. Perkataan ini yang perlu diberi tumpuan apabila kita mahu tukarkan kepada bentuk digital," katanya, menambah terdapat variasi ejaan bagi perkataan tertentu yang secara tidak langsung merumitkan proses pendigitalan jawi.


Penyelidikan berterusan

Muhammad Shahreeza berkata penyelidikan berterusan bagi proses pendigitalan menerusi teknologi AI perlu digembleng secara menyeluruh, bukan sahaja oleh pakar di institusi pengajian tinggi tetapi perlu melibatkan usaha pelbagai pihak.

Beliau berkata masalah yang wujud dalam transliterasi tulisan jawi juga akan dapat diatasi apabila pendigitalan tulisan itu dilakukan menerusi teknologi AI.

"Dalam hal ini, kita percaya masalah sumber atau naskhah bertulisan Jawi yang sukar dibaca dan difahami akan dapat diatasi," katanya.

Akan tetapi kata beliau, disebabkan kajian pendigitalan Jawi tradisi ini masih baru dilaksanakan, para penyelidik perlu memberikan tumpuan pada kajian berhubung pengecaman teks bertulisan Jawi.

"Tulisan Jawi seharusnya diangkat dan diperkenal kepada masyarakat bagi menarik minat mereka untuk mengenali tulisan Jawi, bukan sekadar membaca malahan boleh juga menulis," kata Muhammad Shahreeza yang kini sedang mengkaji untuk membangunkan prototaip sistem transliterasi Jawi kepada Rumi dengan kerjasama Akademi Jawi Malaysia.

-- BERNAMA