Tiada sebarang pertumpahan darah berlaku sepanjang hari ini namun pada sebelah paginya, anggota keselamatan telah terserempak dengan tiga orang pengganas Sulu yang berkeliaran di kawasan Sungai Bilis.

Pertempuran berlaku selepas itu yang berkesudahan anggota pengganas bertindak melarikan diri dari kawasan itu dan membuang segala senjata yang dibawa mereka.

Pihak keselamatan telah menutup Kampung Tanduo, lokasi dimana pendaratan pertama anggota pengganas pada 9 Februari dan penduduk kampung itu telah dipindahkan ke satu lokasi berhampiran kampung tersebut.

Sementara itu, operasi ‘mopping-out’ dan penggeledahan masih diteruskan di kawasan Tanjung Labian, Tanagian dan Sungai Bilis.

Kampung Tanjung Batu pula telah di ‘bebas ancaman’ dan pihak keselamatan sedang berbincang samada untuk membenarkan penduduk kembali ke kampung mereka.

Sehingga kini jumlah pengganas yang ditembak mati adalah sebanyak 67 orang manakala 10 anggota keselamatan Malaysia telah terkorban sepanjang krisis pencerobohan ini.

Selain itu 119 suspek pengganas dan individu yang mempunyai kaitan dengan pengganas telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan 316 lagi ditahan atas pelbagai kesalahan.

Lapan orang pula telah dituduh di mahkamah.

Sementara itu, siasatan dalaman yang dilakukan oleh Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) mendapati terdapat kemungkinan bahawa Sultan Sulu telah menerima “bantuan dan sokongan” dari pihak yang tidak dikenali untuk menceroboh Sabah.

Malah, media Filipina turut melaporkan bahawa semua agensi kerajaan Filipina telah diingatkan oleh Jabatan Luar Negeri negara itu untuk tidak merujuk Sabah sebagai sebahagian dari negara Malaysia.