KUALA LUMPUR: Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penyebaran maklumat yang pantas menerusi platform digital menuntut organisasi korporat serta pengamal media menilai semula strategi komunikasi bagi mengekalkan kredibiliti selain menguruskan krisis secara berkesan.
Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik, Kumpulan Perhubungan Strategik dan Komunikasi PETRONAS Datin Arni Laily Anwarrudin berkata kepantasan AI menyebarkan maklumat yang tidak sahih adalah cabaran besar kepada syarikat dalam melindungi reputasi jenama.
Beliau berkata organisasi perlu mengambil langkah proaktif dalam mengawal naratif korporat bukannya membiarkan pihak luar menentukan persepsi masyarakat.
“Era AI seolah-olah memaksa kita, sebagai sebuah organisasi, untuk menjadi lebih telus kerana jika tidak, orang lain akan mengisi ruang tersebut... persoalannya, adakah kita mahu orang lain yang menyampaikan cerita itu?” katanya.
Arni Laily berkata demikian ketika menjadi ahli panel bagi sesi bertajuk “Credibility in the Age of AI: Navigating the New Frontier” pada program Lunch Escape anjuran Kumpulan Perhubungan Strategik dan Komunikasi PETRONAS dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (MPI) di sini pada Selasa.
Turut menganggotai panel berkenaan ialah Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ashwad Ismail, bekas Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad merangkap Ketua Pegawai Eksekutif New Straits Times Press (NSTP) Mustapha Kamil Mohd Janor dan Pengarah Urusan Free Malaysia Today (FMT) Azeem Abu Bakar.
Hadir sama sebagai peserta Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Arni Laily berkata protokol tindak balas krisis secara tradisional kini tidak lagi relevan berikutan kepantasan platform komunikasi digital ketika ini.
“Peraturan seperti tempoh 16 jam dan proses peningkatan isu kini sudah tidak lagi terpakai... proses sedia ada perlu diubah ... bagaimana kita hendak pastikan kebenaran sesuatu maklumat yang sudah tersebar dan bertindak pantas untuk mengesahkan kesahihannya?” kata beliau.
Senada dengan pandangan itu, Mustapha Kamil berkata struktur komunikasi korporat perlu disesuaikan dengan persekitaran semasa, yang menyaksikan kitaran berita berlaku dengan begitu pantas.
“Tempoh 16 jam sebelum akhbar diterbitkan kini sudah tidak lagi relevan ... apa sahaja yang berlaku sekarang, berita akan disampaikan serta-merta… jika organisasi anda belum mempunyai pasukan komunikasi krisis media yang tersusun, inilah masa yang sesuai untuk menubuhkannya,” kata beliau.
Mustapha Kamil juga berkata walaupun landskap teknologi terus berubah, tanggungjawab utama pengamal media untuk membantu masyarakat memahami sesuatu isu tetap tidak berubah.
“Sebagai wartawan, kita ibarat lampu suluh yang menunjukkan arah dalam perjalanan yang dipilih masyarakat... kita perlu menunjukkan arah dan membantu mereka membuat keputusan yang tepat,” katanya.
Sementara itu, Azeem berkata walaupun AI mampu mengendalikan tugasan berat operasi, organisasi media perlu memberi tumpuan ke arah melahirkan "wartawan super" dan memiliki kemahiran yang tidak mampu dilakukan oleh teknologi.
“Walaupun syarikat boleh digerakkan oleh AI, apa yang lebih kita perlukan ialah wartawan super, iaitu ‘S’ merujuk kepada sumber, ‘U’ bagi pemahaman, ‘P’ ialah corak, ‘E’ untuk kecekapan dan ‘R’ melambangkan reputasi... perkara ini tidak mampu dilakukan oleh AI,” katanya.
-- BERNAMA