KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini mengambil pendekatan meluluskan tuntutan manfaat oleh pencarum sejurus sesuatu kes didaftarkan di hospital.
Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang berkata pendekatan itu memudahkan pencarum tanpa dibebankan dengan prosedur permohonan.
“Sebenarnya tanggungjawab PERKESO bukannya tunggu permohonan. Apabila berlaku kemalangan atau kematian, keluarga akan berada dalam keadaan panik. Itu bukan masa untuk mereka fikir tentang perkara-perkara (permohonan insentif dan bantuan) ini.
“Kami telah ubah pendekatan. Apabila berlaku kemalangan, titik sentuh pertama PERKESO, bukan di pejabat, sebaliknya di hospital kerajaan. Apabila pihak hospital semak (nombor MyKad), kita ada pasukan bersedia 24 jam yang bersedia untuk luluskan Surat Pengesahan (GL) jika kes itu layak ditanggung PERKESO,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
PERKESO ubah pendekatan, cari penerima manfaat bukan tunggu permohonan
Selain itu, Edmund juga memaklumkan, PERKESO juga menubuhkan Skuad PERKESO Prihatin yang memantau laporan berita dan media sosial khususnya mengenai insiden melibatkan pencarum memerlukan bantuan.
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan mengenai kekeliruan orang awam mengenai kaedah penilaian yang digunakan oleh PERKESO untuk meluluskan tuntutan manfaat hilang upaya kekal dan keilatan.
Ujarnya, sebarang keputusan diputuskan oleh panel doktor pakar daripada hospital kerajaan.
Katanya, diagnosis yang dibuat oleh panel doktor adalah berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4].
“Dalam Akta ini, untuk tentukan keilatan, pekerja tersebut mesti ada satu penyakit yang berkekalan dan tidak mampu bekerja. Contohnya, ada dua individu yang menghidap strok tetapi hanya seorang sahaja yang disahkan sebagai kes ilat.
“Apabila kita dalami kes tersebut. Individu yang disahkan ilat itu menghidap strok untuk tempoh setahun, tidak ada sebarang penambahbaikan daripada segi kesihatan dan tidak mampu bekerja.
“Manakala, individu kedua yang tidak dikategorikan sebagai ilat didapati hanya menghidap strok untuk tempoh sebulan. Maka ada kemungkinan, individu tersebut boleh pulih jika dia mengikuti rawatan dan rehabilitasi,” jelasnya.
Agenda AWANI: Cabaran Memahami Keselamatan Sosial