Langkah memperketatkan kawalan sempadan Malaysia-Brunei sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat sebagai satu langkah tepat dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Konsulat Jeneral Negara Brunei Darussalam ke Sarawak, Pengiran Kritini Pengiran Mohd Tahir memberitahu, kerjasama yang diberi oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak kepada kerajaan Brunei merupakan satu usaha yang responsif dan berkesan kepada negara berkenaan dalam mengawal pandemik itu.

“Langkah tersebut secara tidak langsung membantu Brunei dalam menangani penularan COVID-19,” katanya semasa kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Rabu.

Ujar beliau, sebelum ini Sarawak mengambil langkah awal dalam memperketatkan kawalan di pintu masuk sempadan Malaysia-Brunei yang bermula sejak Januari.

Jelasnya, ia bagi mengawal kemasukan pelancong China yang tiba dari Kota Kinabalu sebelum meneruskan perjalanan ke Sarawak melalui jalan darat di mana ia perlu melalui Brunei.


Pengiran Kritini ketika kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia, Petrajaya di Kuching pada Rabu. -Gambar UKAS


Bimbang akan peningkatan kes, Sarawak melalui JPBN mengarahkan waktu operasi pintu masuk sempadan kedua-dua bahagian dipendekkan kepada dua jam.

Tambahnya lagi, waktu operasi dari pukul 6 pagi ke 6 petang itu juga selaras dengan penetapan waktu operasi yang dikenakan Imigresen Brunei berbanding sebelum ini dari jam 6 pagi hingga pukul 8 malam.

Pengiran Kritini hadir di Wisma Bapa Malaysia di Kuching bagi menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri tersebut di atas kerjasama diberikan dalam menangani COVID-19.

Kunjungan hormat itu juga dilakukan sempena pertukaran keluar beliau selepas bertugas selama empat tahun di negeri itu.

Untuk pengetahuan umum, pintu sempadan utama antara Sarawak dan Brunei ialah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Sungai Tujuh, Mengkalap, Tedungan dan Pandaruan.