GEORGE TOWN: Perkhidmatan Funikular Bukit Bendera akan ditutup untuk penyelenggaraan berjadual tahunan bermula 4 hingga 10 Jan tahun depan dan akan beroperasi semula pada 11 Jan.
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua penyelenggaraan berjadual utama dilaksanakan setiap tahun di bawah pengawasan jurutera pengeluar funikular iaitu Garaventa AG dari Switzerland, bagi memastikan sistem berkenaan berada dalam keadaan terbaik serta menjalani pemeriksaan keselamatan yang ketat.
“Penyelenggaraan berjadual dwitahunan pertama 2027 termasuk membaiki struktur landasan di Stesen Bawah, pembaikan pendingin hawa dan bumbung funikular.
“PBBPP juga menjalankan pemeriksaan dan penyelenggaraan sistem funikular secara harian, mingguan dan bulanan selain pemeriksaan selepas waktu operasi,” menurut kenyataan itu.
Menurut PBBPP, dalam tempoh tersebut pengunjung boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan jip dikendalikan Persatuan Pemandu Perkhidmatan Jeep Bukit Bendera yang terletak bersebelahan Jabatan Taman Botani Pulau Pinang atau menggunakan laluan mendaki untuk sampai ke puncak Bukit Bendera.
Sebarang pertanyaan lanjut, hubungi PBBPP di talian 04-8288880 atau menerusi e-mel [email protected].
-- BERNAMA