Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghormati keputusan politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mencalonkan Presiden Keadilan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar yang baharu.

Bagaimanapun Abdul Khalid dalam satu kenyataan berkata, beliau berpegang teguh kepada enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menetapkan tatacara yang khusus bagi pelantikan atau penggantian Menteri Besar.

"Saya percaya mereka yang terlibat dalam usaha ini perlu melalui proses-proses tersebut untuk mencapai matlamat yang mereka inginkan.

"Sehingga proses tersebut berlaku dan selesai, saya akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dengan penuh tanggungjawab, tekun dan amanah seperti yang telah diamanahkan oleh rakyat Selangor yang telah memilih saya melalui proses pemilihan yang sah," katanya.

Ujar Abdul Khalid, beliau berharap rakyat Selangor tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita fitnah, bersifat provokasi dan kontroversi kerana Negeri Selangor mempunyai tatacara pelantikan Menteri Besar secara tertib dan beradab seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

"Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan kepada seluruh rakyat Selangor dan para pelabur bahawa isu ini tidak sedikit pun menjejaskan sistem pentadbiran negeri," ujarnya.

Pada Isnin, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan untuk menamakan Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Abdul Khalid.

Anwar berkata, Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan membincangkan perkara tersebut dalam satu mesyuarat yang dijadualkan Rabu ini selepas Sidang Khas Dewan Rakyat.