Kerajaan negeri Perlis melalui Jawatankuasa Keselamatan Negeri telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat Secara Bersasar (TEMCO) di dua kampung di Sanglang.

Perlaksanaan perintah tersebut akan melibatkan Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bermula jam 10 malam, 8 Ogos sehingga 4 September depan.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan pihak kerajaan negeri, TEMCO di kawasan terbabit dilaksanakan selepas mendapat pandangan dan nasihat dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas mengambil kira bilangan kes aktif COVID-19 termasuk 10 kes baharu pada Jumaat.

Penduduk di kedua-dua kampung terbabit juga diingatkan agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedia ada.

Sekatan jalan raya (SJR) turut akan dilaksanakan di laluan keluar masuk ke kawasan TEMCO dan orang awam di luar kawasan terbabit tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti keluar masuk kecuali pihak yang terlibat dengan perkhidmatan perlu (essential services).

Sementara itu, penduduk di kawasan TEMCO turut disarankan untuk mematuhi arahan kuarantin wajib di rumah selepas selesai menjalani ujian saringan COVID-19.

Dalam perkembangan sama, hanya Ketua Isi Rumah dibenarkan untuk keluar dari rumah bagi mendapatkan barangan keperluan harian sepanjang tempoh kuarantin sementara menunggu keseluruhan ahli keluarga menerima arahan pelepasan (release order).

Arahan pelepasan terbabit akan hanya diberikan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perlis selepas ujian saringan COVID-19 didapati negatif.

Susulan itu, kerajaan negeri akan sentiasa menunjukkan komitmen dalam menyalurkan bantuan ke dua kawasan yang terlibat dalam meringankan bebanan penduduk.