Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Tun Dr Siti Hasmah dikenang sebagai sosok pendorong kemampuan wanita

Sumber: Astro AWANI
Jelas Datuk Seri Azizah Mohd Dun, pengalaman peribadinya bersama Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah menjadi antara kenangan yang tidak akan dilupakan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dikenang bukan sahaja sebagai seorang doktor dan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, malah sebagai sosok yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada wanita lain.

Itu kata bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Jelas beliau, pengalaman peribadinya bersama Allahyarham menjadi antara kenangan yang tidak akan dilupakan.

"Allahyarham sentiasa bersama Tun Dr Mahathir memberikan sokongan dan juga memberikan sokongan kepada kami semua yang menjadi pemimpin-pemimpin yang muda, yang baru (pada suatu ketika).

"Allahyarham punya budaya selalu tersenyum kepada kami, kami pemimpin baharu, muda masa itu, tapi dia tersenyum kepada kami dan memberikan kekuatan dengan mengucapkan 'be strong, keep on going'.

"Allahyarham juga sentiasa mengucapkan terima kasih apabila kami mengiringi beliau dengan senyumannya yang begitu
manis dan tangannya yang begitu halus itu yang kita tidak akan lupa sampai bila-bila," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Azizah yang juga Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata sikap dan keperibadian Allahyarham menjadi satu bentuk dorongan kepada wanita, termasuk wanita di Sabah, untuk terus maju dalam bidang profesional, politik dan kepimpinan.

Katanya lagi, pencapaian Allahyarham sebagai antara doktor wanita terawal di Malaysia (dalam bidang kesihatan ibu dan anak) memberikan keyakinan kepada wanita bahawa mereka juga mampu mencapai kejayaan.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, pagi Isnin.

Must Watch Video

Advertisement