KUALA LUMPUR: Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PLANMalaysia) baru-baru ini melaporkan Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka diiktiraf sebagai bandar paling bahagia di Malaysia untuk tahun 2021.

PlanMalaysia dalam satu kenyataan berkata, ketiga-tiga negeri tersebut mencatatkan skor penuh ‘Bahagia’ dalam Kajian Indeks Kebahagiaan 2021 iaitu melebihi 80 peratus.

Bahkan, pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi ketiga-tiga negeri itu juga merekodkan skor 'Bahagia' penuh bagi semua kawasan yang dinilaikan.

Sebanyak 14 soalan ditanya dalam kaji selidik itu bersempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2022 pada 22 Mac lepas.

Antara soalan yang ditanya termasuklah tahap tekanan kehidupan dialami individu serta kadar kepuasan hati dengan kesihatan, kebahagiaan ketika bersama keluarga dan saudara-mara selain tahap keseronokan ketika berada di tempat bekerja.

Soalan tersebut berdasarkan situasi di Malaysia namun di peringkat dunia, ada lima perkara penting dalam menentukan indeks kebahagiaan di sesuatu kawasan seperti dilaporkan Inc.com.

Berikut adalah lima faktor tersebut:

1. Kurang waktu perjalanan ke tempat kerja

Pertamanya adalah semakin kurang masa perjalanan ke tempat kerja, semakin bahagia individu di sesebuah kawasan, lapor kajian daripada United Kingdom's Office for National Statistics (ONS).

Menurut ONS, mereka yang bergerak menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja lebih bahagia daripada mereka yang menggunakan kenderaan peribadi.

2. Kurang bahagia di kawasan sejuk

Selain itu, cuaca juga memainkan peranan dan lokasi yang penting yang mana individu yang tinggal di kawasan sejuk kurang gembira berbanding kawasan panas.

3. Lebih bahagia di kawasan banyak kemudahan

Faktor ketiga, mereka yang tinggal di kawasan lebih banyak kemudahan dekat dengan semua tempat tumpuan lebih bahagia berbanding mereka yang tinggal di luar bandar, kemudahan jauh dan perlu bergerak ke sana-sini menggunakan kereta.

4. Kehijauan alam menghadirkan kegembiraan

Penduduk bandar kerap rasa ‘terhimpit’ dengan bangunan-bangunan di sekeliling mereka dan itu menjadi faktor keempat mengurangkan indeks kebahagiaan individu.

Kajian menunjukkan individu lebih bahagia di kawasan yang lebih banyak kehijauan dan kerana itu, penduduk bandar gemar ke kawasan-kawasan hijau apabila mereka bercuti.

5. Populasi berpendidikan tinggi

Faktor kelima penentu indeks kebahagiaan adalah tahap pendidikan yang mana kertas kerja “Unhappy Cities” menunjukkan kawasan dengan populasi lebih berpendidikan melaporkan tahap kebahagiaan yang lebih tinggi.

Penemuan itu turut disokong hasil kajian lepas yang dilakukan Gallup-Healthways Metro pada tahun 2010.