Skip to main content

Malaysia

Perlis sasar pelancong antarabangsa menerusi festival 'Rasa Malaysia' di Bangkok

Raja Muda Perlis_Yayasan Tuanku Syed Putr
Tuanku Syed Faizuddin dan anakanda, Syed Sirajuddin Areeb berkenan menghadiri Majlis Pelancaran Promosi Masakan Perlis di Restoran Bundhaya Seafood, Songkhla, pada Isnin. - Gambar Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis
Advertisement

SONGKHLA: Perlis bersedia memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan pilihan di utara Semenanjung menerusi penyertaan dalam festival 'Rasa Malaysia', yang bakal berlangsung buat julung kali di kawasan warisan Song Wat, Bangkok, Thailand pada 19 dan 20 September depan.

Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Perlis, Mohammad Faidzul Awang Bakar berkata, penyertaan negeri itu dalam festival berkenaan akan turut disemarakkan menerusi program 'Unity Ride KL-Bangkok', iaitu acara kayuhan yang bermula dari Perlis pada 6 September dan dijadual menamatkan perjalanan di Bangkok pada 16 September.

Menurut beliau, berteraskan tema keunikan budaya dan keindahan alam semula jadi, Perlis akan mengetengahkan pelbagai produk serta tarikan pelancongan negeri, termasuk hidangan istimewa tempatan yang mencerminkan identiti dan warisan negeri berkenaan.

“Penyertaan Perlis dalam festival ini menjadi platform strategik untuk memperkenalkan keunikan negeri kepada pelancong Thailand dan antarabangsa, khususnya menerusi kekayaan alam semula jadi, seni budaya, warisan serta sajian tradisional yang menjadi identiti Perlis,” katanya.

Festival yang dianjurkan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok itu dilihat mampu membuka ruang lebih luas kepada Perlis untuk memperluaskan promosi pelancongan, selain mengukuhkan jaringan kerjasama dalam sektor ekonomi kreatif dan perdagangan rentas sempadan.

Menerusi kerjasama dengan agensi pembangunan pertanian seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), reruai Perlis akan menampilkan pelbagai produk agro berasaskan usahawan tempatan.

Antara yang bakal menjadi tarikan utama ialah produk berasaskan mangga Harumanis, selain pelbagai hasil tempatan berkualiti tinggi yang menjadi kekuatan ekonomi negeri itu.

Menurut Mohammad Faidzul, penyertaan berkenaan bukan sahaja bertujuan memperluaskan pasaran produk tempatan ke peringkat antarabangsa, malah berpotensi mengukuhkan hubungan kebudayaan, pelancongan dan perdagangan antara Malaysia dan Thailand.

Dalam masa sama, delegasi Perlis turut akan mempromosikan Perlis Geopark serta kalendar acara pelancongan negeri bagi menarik lebih ramai pelancong luar untuk berkunjung ke negeri berkenaan.

Beliau berkata, usaha promosi itu diharap mampu meningkatkan ketibaan pelancong dari Thailand dan negara lain yang ingin menikmati pengalaman pelancongan berasaskan alam semula jadi, warisan, budaya dan gastronomi unik Perlis.

Perkembangan itu dimaklumkan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Majlis Pelancaran Promosi Masakan Perlis di Restoran Bundhaya Seafood, Songkhla, pada Isnin.

Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Hadir sama Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Noor Azman Abdul Rahman; Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Yang Zaimey Yang Ghazali serta Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Saharuddin Sarwan.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan pengusaha restoran Shamiza Mohd Noor.

Sebagai sebahagian usaha memperkenalkan gastronomi Perlis kepada masyarakat Thailand, hidangan Kurma Daging Perlis turut diketengahkan sebagai menu istimewa di restoran berkenaan.

Hidangan itu disediakan menggunakan rempah ratus terpilih dan resipi autentik Perlis, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menikmati keunikan cita rasa tradisional negeri tersebut.

Bundhaya Seafood yang terletak di pesisir pantai Songkhla dipilih sebagai lokasi promosi kerana popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong, selain menawarkan suasana yang sesuai untuk memperkenalkan kekayaan gastronomi Perlis kepada pasaran antarabangsa.

 

Must Watch Video

Advertisement