KUALA LUMPUR: Sebuah badan bebas perlu diwujudkan untuk memantau mana-mana ahli politik yang menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) untuk tujuan amal.

Ahli Panel Penasihat Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Datuk Mustapha Ahmad Merican berkata, mereka perlu mengelakkan persepsi bahawa ia bergerak atas kepentingan peribadi dan peruntukan yang tidak sampai kepada kumpulan sasar.

"Dalam konteks negara kita, kena ada satu badan lagi. Walaupun kita tahu SPRM bekerja keras untuk membanteras gejala rasuah ini, tetapi kita kena ada pemerhati juga kepada mereka yang menjalankan tugas dan amanah ini. Supaya ada pemerhati tengok. Kita kena ada badan pemerhati untuk melihat supaya keberkesanan kerja-kerja ini dapat dijalankan.

"Kalau tidak, siapa hendak perhati siapa? Dia ada kuasa tetapi tidak ada sesiapa memerhati, jadi mereka bebas buat apa sahaja. Saya tidak mengkritik, Saya mencadangkan supaya ada satu badan yang boleh memerhati. Bila ada pemerhati ini keberkesanan, kekurangan itu dapat diperbaiki, bukan mencari kesalahan orang.

"Sebab orang yang kena tangkap kadang-kadang ada yang kena perangkap, kita kena lihat juga kadang-kadang mereka teraniaya, jadi siapa hendak bela mereka yang teranaiaya ini," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Jelasnya, paling penting bukan mengambil sebahagian wang yang diperuntukkan untuk membantu rakyat dengan menonjolkan kemewahan diri sendiri semata-mata.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menjelaskan, penubuhan NGO oleh ahli politik kerana syarat pembayaran peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) hanya kepada badan berkenaan dalam setiap program yang dianjurkan.

Ujarnya, langkah itu tidak semestinya melambangkan ahli politik berkenaan berminat untuk melakukan kerja amal.

"Saya sebenarnya tidak suka mencampuradukkan kerja politik dengan kerja amal NGO, tetapi apa yang saya boleh lihat, antara punca masalah di sini adalah peruntukan Ahli Parlimen yang disalurkan oleh ICU, di Jabatan Perdana Menteri mensyaratkan bahawa peruntukan hanya boleh dibayar pada NGO atau persatuan penduduk yang tidak sesekali boleh dibayar melalui pusat khidmat Ahli Parlimen tersebut.

"Jadi, bila ada program yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen dan perlu membayar untuk makan minum ataupun perbelanjaan yang lain, mereka hanya boleh bayar melalui saluran NGO, dan saya harap ini boleh diperbaiki oleh ISU supaya semua perbelanjaaan boleh dibuat dengan telus tanpa menggunakan satu platform NGO yang boleh menyebabkan salah guna kuasa atau salah guna peruntukan," katanya.

Mengikut laman rasmi ICU, projek-projek yang dibenarkan adalah meliputi infrastruktur awam atau asas, program sosial serta kebajikan sumbangan yang mempunyai kepentingan ramai.