KUALA LUMPUR: Penggubalan Rang Undang-undang Keselamatan Siber dilihat amat bertepatan dengan situasi perkembangan teknologi digital semasa lebih-lebih lagi bagi menampung kelompongan akta berkaitan sedia ada, namun pendefinisian jelas berhubung keselamatan siber perlu juga diambil kira dalam penggubalan itu.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, ini kerana, aspek keselamatan dan jenayah siber bukan sahaja berkait dengan aktiviti penggodaman, kebocoran data dan penipuan siber, tetapi turut merentasi penggunaan platform media sosial dan soal integriti.

"Kalau dulu Akta Jenayah Komputer 1997 lebih berkaitan dengan menceroboh rangkaian Internet dan telekomunikasi, tapi hari ini aspek keselamatan siber sudah merentasi aspek contohnya di platform media sosial berhubung buli siber yang menimbulkan suasana tidak selamat dalam dunia siber itu sendiri.

"Kita tak nak keselamatan siber seolah-olah hanya terhad isu penggodaman dan eksploitasi sistem. Ia juga merentasi integriti dalam aspek siber, contohnya orang yang diberi tanggungjawab mengelola sistem IT (teknologi maklumat) dalam organisasi menjual data kepada pihak ketiga," katanya kepada Bernama.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara memutuskan agar rang undang-undang berkenaan digubal segera, bagi memastikan segenap aspek perundangan yang berkaitan dapat dituntaskan.

Anwar berkata, rang undang-undang berkenaan akan memberi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) punca kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber, serta menambah baik keberkesanan fungsi NACSA.

Siraj turut mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan kaedah lesen khas bagi syarikat yang menawarkan khidmat keselamatan siber menerusi penggubalan rang undang-undang bekenaan.

Beliau berkata, ini bagi memastikan syarikat yang menawarkan perkhidmatan dalam bidang itu menitikberatkan perlindungan data pengguna dalam perkhidmatan mereka, sekali gus memudahkan pemantauan dan kawal selia terhadap syarikat berkenaan.

"Kita tak nak rakyat anggap akta keselamatan siber ini hanya diguna pakai untuk kelompok industri tertentu, kita nak ia komprehensif merangkumi hingga peringkat pengguna faham bahawa perilaku dia sebagai pengguna siber tertakluk di bawah akta ini," katanya.

Felo dan Pengerusi Teknologi Maklumat Sains Komputer, Akademi Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin turut berpendapat, penggubalan rang undang-undang itu amat penting kerana terdapat beberapa lompong signifikan dalam akta sedia ada yang membuka ruang untuk jenayah siber berleluasa.

"Umpamanya Akta Perlindungan Peribadi 2010, sekarang ini ada perkara melibatkan selain transaksi komersial yang tidak diambil kira, itu salah satu saya maksudkan kelompongan," katanya.

Ketika ini di Malaysia, keselamatan siber dikawal oleh beberapa perundangan utama seperti Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kanun Keseksaan dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. - BERNAMA