KUALA LUMPUR: Semua penganjur program dan konsert di negara ini diingatkan supaya lebih berhati-hati dan menjaga sensitiviti agama dalam setiap penganjuran aktiviti yang berunsurkan hiburan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, walaupun program hiburan dibenarkan, sensitiviti agama, adab dan adat perlu dijaga demi memastikan kandungannya sesuai dengan pengunjung yang hadir.

"Teguran saya kepada semua pihak dalam menganjurkan program-program, supaya lebih berhati-hati dan cermat dalam menjaga sensitiviti agama, adab serta adat ketimuran kita.

"Dalam pada kita berhibur, pastikan kita mengambil perhatian kesesuaian dan pengisian program. Apatah lagi jika audiens melibatkan anak-anak tahfiz dan anak-anak muda," ujarnya menerusi satu perkongsian video di media sosial.


Mohd Na'im berkata, pihaknya telah menghubungi penganjur dan mendapatkan penjelasan berkenaan sebuah konsert yang turut dihadiri pelajar-pelajar tahfiz di Shah Alam, Sabtu lalu, yang menjadi kontroversi baru-baru ini.

Menurutnya, pihak penganjur menjelaskan bahawa terdapat pihak ketiga yang memanjangkan undangan kepada pelajar-pelajar tahfiz dari sebuah madrasah Rohingya di Shah Alam.

"Jemputan pelajar-pelajar tahfiz berkenaan ke acara tersebut dibuat oleh pihak ketiga, yang menaja golongan yang kurang bernasib baik, termasuk anak-anak tahfiz dari sebuah madrasah Rohingya di Shah Alam," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Na'im dalam kenyataannya menasihati penganjur dan orang awam untuk mengambil iktibar daripada insiden tersebut dan mengikuti garis panduan yang disediakan dalam penganjuran sesebuah program.

Pada masa sama, beliau meminta pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memanggil kesemua pihak yang terlibat dalam penganjuran konsert berkenaan bagi proses siasatan dan perbincangan lanjut.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu susulan video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan pelajar tahfiz yang hadir pada konsert tersebut.

Perkara itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan ibu bapa dan pelbagai reaksi netizen yang menganggap penganjuran konsert itu tidak menjaga sensitiviti agama dan pengunjung yang hadir menerusi beberapa persembahan nyanyian oleh artis-artis undangan.