SEGAMAT: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, hari ini berkenan berangkat menziarahi kubur kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia dipercayai didera lima individu di Senggarang, Batu Pahat, baru-baru ini.

Baginda tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Gatom, di sini, kira-kira 3 petang, diiringi isteri Pemangku Raja Johor, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Pegawai Daerah Segamat, Hasrin Kamal Hashim.

Timbalan Mufti Negeri Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed mengetuai bacaan surah Yasin dan tahlil ringkas.

Raja Zarith Sofiah dan Che' Puan Besar Khaleeda turut berkenan menyiram air mawar dan menabur bunga di kubur kanak-kanak tersebut.

Raja Zarith Sofiah dan Che' Puan Khaleeda menghabiskan masa kira-kira sejam di tanah perkuburan itu, selain memberikan kata-kata semangat kepada waris kanak-kanak malang terbabit, sebelum berangkat pulang kira-kira 4 petang.

Selasa lepas, Kamarul Zaman dilaporkan berkata, kanak-kanak berusia empat tahun itu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail di sini sejak 23 Dis setelah dilaporkan pengsan di rumah rakan kakak kandungnya di Senggarang sebelum meninggal dunia, Isnin lepas.

Mangsa dijaga oleh kakaknya selepas ibu bapa mereka dihukum penjara kerana kesalahan dadah sebelum diserahkan kepada rakan kakaknya untuk dijaga.

Sehingga kini, lima individu berusia lingkungan 15 hingga 37 tahun sedang direman bagi membantu siasatan termasuk kakak mangsa yang berusia 19 tahun dan suaminya, 37. - BERNAMA