SHAH ALAM: Permintaan pusat data di Selangor setakat ini tidak memberi tekanan terhadap bekalan air domestik, khususnya di kawasan berpenduduk padat, kata Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han.
Ng berkata kerajaan negeri sentiasa memberikan penekanan kepada pembangunan industri pusat data yang mampan dan seimbang dengan keperluan alam sekitar serta kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata bagi tujuan itu, kerajaan negeri mengadakan mesyuarat penyelarasan prapelaburan bersama-sama pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal serta utiliti berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Selangor bagi meneliti setiap cadangan projek dari peringkat awal.
“Melalui pendekatan ini, aspek seperti keperluan bekalan elektrik dan air, kawalan bunyi bising, pengurusan pelepasan udara, pematuhan syarat alam sekitar serta kesiapsiagaan infrastruktur dapat dikenal pasti dan diselaraskan sebelum projek diluluskan.
“Di samping itu, Kerajaan Persekutuan melalui Data Centre Task Force (DCTF) turut melaksanakan proses tapisan dari peringkat awal bagi memastikan pembangunan pusat data menggunakan sumber secara cekap dan mampan,” katanya.
Ng menjawab pertanyaan Mu’izzuddeen Mahyuddin (PN-Hulu Bernam) berhubung jaminan margin rizab air domestik Selangor tidak terjejas susulan unjuran impak permintaan air tinggi pusat data pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Pada masa ini, beliau berkata margin rizab air terawat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ialah 16.23 peratus bersamaan 1,055 juta liter sehari (JLH) dan masih mempunyai lebihan bekalan air terawat bagi menampung keperluan industri pusat data serta pembangunan baharu.
“Selain itu, pemaju pusat data dikehendaki menyediakan infrastruktur bekalan air baharu, termasuk paip agihan dari kolam yang bersesuaian serta tangki simpanan air luaran dan dalaman selama tiga hari bagi memastikan keperluan bekalan air pusat data dapat dipenuhi tanpa menjejaskan bekalan kepada pengguna sedia ada.
“Air Selangor juga meneliti keperluan masa hadapan untuk pusat data secara berterusan dengan unjuran untuk permintaan dianggarkan lebih kurang 632 JLH,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi mesyuarat penyelarasan prapelaburan, Ng berkata kerajaan negeri telah mensyaratkan pelaburan pusat data perlu mempunyai 30 peratus local content supaya syarikat tempatan memperoleh peluang perniagaan daripada pelaburan berskala besar itu.
Beliau berkata berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sebanyak 39 projek pusat data diluluskan di Selangor bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih 2,400 peluang pekerjaan tetap dalam pelbagai kategori meliputi bidang teknikal, teknologi maklumat, kejuruteraan dan pentadbiran.
-- BERNAMA